Ahad, 14 April 2019 | 11:06am
Penunggang Team Repsol Honda, Marc Marquez dari Sepanyol (kanan) dalam aksi semasa kelayakan MotoGP di Red Bull Grand Prix di Amerika di Litar Amerika di Austin, Texas, Amerika Syarikat. - Foto EPA

Litar basah jejas catatan Quartararo, Morbidelli

KUALA LUMPUR: Cuaca tidak menentu di Sirkit of The Americas (COTA) menjejaskan catatan masa pelumba PETRONAS Yamaha Sepang Racing, Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli pada sesi kelayakan MotoGP Grand Prix Amerika Syarikat, di Austin, Texas, hari ini.

Malah, Morbidelli yang dalam tahun MotoGP keduanya paling terkesan apabila gagal mengulangi permulaan petak keenam pada pusingan kedua di Argentina, dua minggu lalu selepas sekadar menyambar petak ke-10 kali ini.

Rakan sepasukannya Quartararo pula bakal bermula satu petak di depannya dalam perlumbaan esok yang diketuai Marc Marquez.

Menurut Morbidelli yang kini menghuni kedudukan ke-11, hujan di sebelah pagi menyebabkan pembatalan sesi latihan bebas (FP) 3 merencatkan perancangan pasukan.

"Kami sebenarnya merancang untuk mencuba sesuatu yang baharu dari aspek pengagihan berat, tetapi hanya mampu melakukannya pada sesi Q2 kerana ketika itu saja litar benar-benar kering.

"Pada FP4 litar masih lembap. Memang, sekurang-kurangnya kami masih sempat menguji jentera sebelum Q2, tetapi ia tidak mencukupi dan pada akhirnya saya berpuas hati di petak kesepuluh," katanya yang melakar kepantasan sepusingan 2 minit 05.278 saat (s).

Grand Prix Amerika Syarikat membabitkan pertarungan 20 pusingan dijadualkan berlangsung pada awal pagi esok.

Quartararo turut senada dengan rakan sepasukan dari Perancis itu meskipun mencatat masa kesembilan terpantas dengan 2:04.941s.

Bagaimanapun, pelumba Itali yang dalam tahun sulungnya di MotoGP tetap berpuas hati dengan keputusan berkenaan.

"Ia adalah cuaca yang memberikan kesukaran kepada kami. Kami keluar ke FP4 dengan tayar basah, tetapi litar itu sebenarnya separa kering, jadi kami bergelut untuk memahami cara sebenar untuk menunggang jentera.

"Apapun, saya tetap gembira dengan kejayaan ini biarpun ia bukan idea yang bijak untuk memasuki trek tanpa keyakinan pada sesi kelayakan tadi. Saya sedar ia adalah litar yang mencabar tetapi kami mempunyai jentera untuk memburu penamat 10 terbaik," katanya.

Keputusan Sesi Kelayakan

1. MARC MARQUEZ / Honda 2:03.787

2. VALENTINO ROSSI / Yamaha +0.273

3. CAL CRUTCHLOW / Honda +0.360

4. JACK MILLER / Ducati +0.629

5. POL ESPARGARO / KTM +0.685…..

9. FABIO QUARTARARO / PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team +1.154

10. FRANCO MORBIDELLI / PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team +1.491

304 dibaca
Berita Harian X