Ahad, 14 April 2019 | 12:24pm
GAMBAR fail, pelumba Moto2 Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) Khairul Idham Pawi ketika sesi ujian tertutup di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). - Foto Luqman Hakim Zubir

SuperKip bergelut atasi sakit belakang dan bahu

KUALA LUMPUR: Pelumba PETRONAS Sprinta Racing, Khairul Idham Pawi menyatakan sakit belakang yang menimpanya semasa latihan bebas sebagai punca dia bergelut pada sesi kelayakan Grand Prix Amerika Syarikat, hari ini.

Dia jelas belum pulih sepenuhnya daripada insiden pelanggaran semalam selepas gagal melepasi sesi kelayakan pertama (Q1) Moto2 untuk memulakan perlumbaan di petak ke-23, esok.

Walaupun muncul kesembilan terpantas di Q1 dengan sepusingan 2 minit 13.645 saat (s), catatan berkenaan tidak cukup untuk menolak Khairul Idham ke Q2.

Ini kerana, hanya empat pelumba terbaik dari Q1 bersama 14 pelumba yang mencatat masa keseluruhan terpantas di sesi latihan bebas akan mara ke Q2.

"Saya belum berasa OK selepas terbabit dalam insiden semalam. Belakang saya masih terasa sakit di samping bahagian bahu, dan ia menjejaskan aspek kekuatan fizikal saya.

"Mungkin adalah lebih baik sekiranya FP3 dijalankan, untuk meningkatkan keyakinan kerana ia amat sukar untuk terus ke sesi kelayakan," katanya berhubung pembatalan FP3 berikutan hujan di Circuit of The Americas (COTA) pagi tadi.

Bagaimanapun, pelumba berusia 20 tahun itu yang memungut tiga mata pertamanya pada musim ini di Grand Prix Argentina, dua minggu lalu tetap optimis untuk melakar kebangkitan esok.

"Saya akan terus berusaha sebaik mungkin dan mengekalkan fokus, objektif untuk esok adalah untuk memburu mata," katanya.

Sementara itu, dua wakil PETRONAS Sprinta Racing dalam saingan Moto3, John McPhee dan Ayumu Sasaki masing-masing bakal memulakan perlumbaan di petak kelapan dan ke-17.

340 dibaca
Berita Harian X