Isnin, 15 April 2019 | 1:12am
Sebastian Vettel. - Foto EPA

Vettel gembira dalam duka

SHANGHAI: Sebastian Vettel menaiki podium pertamanya pada 2019, semalam tetapi berbanding tersenyum lebar, dia mengakui ‘tidak begitu gembira’ dengan jentera Ferrari selain terganggu dengan soalan mengenai arahan pasukan.

Juara dunia empat kali itu menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) China di kedudukan ketiga di belakang dua pelumba Mercedes, Valtteri Bottas dan pemenang Lewis Hamilton dalam perlumbaan ke-1,000 Formula Satu.

Pemandu Jerman itu dipintas oleh rakan sepasukannya yang sedekad lebih muda, Charles Leclerc di permulaan perlumbaan tetapi Ferrari selepas itu memberi arahan kepada pelumba kelahiran Monaco itu agar membenarkan Vettel memintasnya.

Ketika perlumbaan berlangsung, Prinsipal Ferrari, Mattia Binotto berkata Vettel kekal sebagai keutamaan tetapi menegaskan ia boleh berubah.

Leclerc, 21, menamatkan perlumbaan di Shanghai di tangga kelima dan sejurus perlumbaan, dia mengakui arahan itu ‘sedikit mengecewakan.’

“Saya terpaksa menerimanya, melakukannya dan fokus terhadap perlumbaan,” kata Leclerc.

Vettel, 31 yang berdepan kritikan selepas melakukan beberapa kesilapan tidak sepatutnya musim lalu enggan menyembunyikan rasa kecewanya.

“Ia sentiasa menjadi lebih sukar, terutama memberikan jawapan yang kamu mahukan,” katanya kepada wartawan yang dituduhnya sentiasa mencari topik yang sukar terhadap Ferrari.

“Menyakitkan untuk menjawab soalan yang sama berulang-ulang kali. Ia tidak mudah bagi sesiapapun yang terbabit,” katanya sambil mengakui masih cuba untuk mencari potensi sebenar Ferrari dan masih ‘belum gembira sepenuhnya’ dengan jentera berkenaan. - Reuters

Berita Harian X