Isnin, 15 April 2019 | 11:06pm

Morbidelli puas, Quartararo ceria

KUALA LUMPUR: Penunggang PETRONAS Yamaha Sepang Racing (PETRONAS Yamaha SRT), Franco Morbidelli meraih pencapaian terbaik dalam kariernya di kelas MotoGP apabila melintasi garisan penamat Grand Prix (GP) Amerika Syarikat di tangga kelima, awal pagi tadi.

Morbidelli yang memasuki tahun keduanya musim ini menamatkan perlumbaan dengan catatan 42 minit 03.520 saat di belakang pemenang dari pasukan Suzuki ECSTAR, Alex Rins - kemenangan pertama buat pelumba dari Barcelona, Sepanyol itu selepas menyertai kancah kelas MotoGP pada 2017.

Memulakan perlumbaan dari petak ke-10, Morbidelli pantas menyatakan kegembiraannya apatah lagi sesi kelayakan dianggapnya tidak begitu memihak kepada pasukan milik Malaysia itu.

"Perlumbaan yang hebat di Austin dan saya amat gembira," kata pelumba dari Itali itu. "Sesi kelayakan agak malang buat kami tetapi saya tahu ada potensi.

“Saya juga mampu melonjakkan posisi ketika perlumbaan dan meraih penamat dalam kelompok lima terbaik buat pertama kalinya untuk saya dalam kelas perdana ini.

"Malangnya, saya perlu memperlahankan tunggangan sebelum penamat perlumbaan tetapi saya dapat rasakan yang usaha kami berlangsung dengan baik, kami menunjukkan peningkatan dan semakin rapat dengan kelompok atas.

"Terima kasih kepada pasukan dan semua pihak yang memberi kerjasama dengan saya. Saya berasa hebat dan tidak sabar untuk ke Jerez."

Pusingan keempat musim dijadual berlangsung di Jerez, Sepanyol pada 5 Mei ini- litar yang pernah menyaksikan Morbidelli menamatkan saingan pertama kalinya di saingan MotoGP di tempat kesembilan, tahun lalu.

Sementara itu rakan sepasukannya Fabio Quartararo masih mengekalkan gelaran pendahulu dalam carta muka baharu terbaik (rookie) dengan 17 mata.

Francesco Bagnaia dari pasukan Pramac Racing berada di tangga kedua dengan sembilan mata manakala Joan Mir (Suzuki ECSTAR) ketiga, lapan mata.

"Saya sangat gembira dengan keputusan ini. Kami mempamerkan peningkatan daripada sudut keputusan dari Argentina dan saya sekali lagi menjadi rookie terbaik," katanya yang menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh.

"Apabila saya berada di trek dengan pelumba terhebat di dunia, saya mempelajarinya. Itu juga satu perkara yang sangat positif. Saya amat menantikan perlumbaan yang akan datang."

484 dibaca
Berita Harian X