Selasa, 16 April 2019 | 10:07pm
Prinsipal Pasukan PETRONAS Yamaha Sepang Racing (PETRONAS Yamaha SRT), Datuk Razlan Razali. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Razlan positif prestasi Morbidelli, Quartararo

KUALA LUMPUR: Prinsipal Pasukan PETRONAS Yamaha Sepang Racing (PETRONAS Yamaha SRT), Datuk Razlan Razali menegaskan perlumbaan di Eropah yang bakal bermula di Grand Prix (GP) Sepanyol, 5 Mei ini bakal menyajikan saingan lebih kompetitif berbanding tiga perlumbaan sebelum ini di Qatar, Argentina dan Amerika Syarikat. 

Razlan berkata, saingan di Eropah bakal menyajikan saingan sengit apatah lagi kebanyakan pelumba adalah dari Eropah dan pastinya mereka lebih mahir di litar masing-masing. 

Bagaimanapun, Razlan berkata pelumbanya di saingan MotoGP - Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli - sudah menunjukkan prestasi yang baik di tiga pusingan awal saingan 2019 bermula di Qatar awal Mac lalu. 

"Fabio (Quartararo) mendahului (carta keseluruhan) rookie (muka baharu) manakala Franco (Morbidelli) untuk pusingan pertama dan kedua (di Argentina) tidak berapa bagus kerana terjatuh dengan (Maverick) Vinales. 

"Sebenarnya, mustahak untuk mengambil (mata) pendahuluan sebelum ke Jerez kerana di Jerez, saya yakin perlumbaan akan lebih kompetitif apabila semuanya (pelumba) ke Eropah. 

"Di situ, semua mahir dengan litar masing-masing apatah lagi ada yang kerap menjalani ujian di sana. Jadi bagi saya, kita dapat pendahuluan yang OK untuk Fabio. 

Bagi Franco mungkin untuk pusingan pertama dan kedua itu, kita mengharapkan yang lebih baik tetapi dia (bangkit) pada pusingan ketiga dan meraih tempat kelima yang bagi saya, bagus untuknya," kata Razlan.

Selepas tiga pusingan, Quartararo dari Perancis sudah mengumpul 17 mata keseluruhan untuk berada di tangga ke-10 carta manakala Morbidelli (Itali), ke-11 dengan 16 mata. 

Quartararo atau dikenali sebagai 'El Diablo' juga mendahului carta rookie terbaik, mendahului lapan mata daripada penghuni tangga kedua dari Itali, Francesco Bagnaia. 

Sementara itu, Razlan turut mengulas prestasi bagi pasukan Moto3 negara - PETRONAS Sprinta Racing - yang diwakili pelumba Jepun, Ayumu Sasaki dan John McPhee (Scotland) tatkala pasukan menaruh harapan tinggi buat mereka berdua pada tiga aksi awal saingan itu. 

"Saya agak kecewa dengan prestasi Moto3 yang tidak dapat memaksimakan kedudukan pada sesi kelayakan. Walaupun pada pusingan kedua Ayumu dapat kedudukan kelima, tetapi sepatutnya dia dapat meraih penamat lebih baik di pusingan pertama dan ketiga. 

"McPhee juga sama, kita mengharapkan dia dapat meraih penamat di podium dengan lebih cepat tetapi tidak kesampaian dan saya kecewa dengan Moto3. Kami mengharapkan yang dia dapat melakukan yang lebih baik dan Ayumu seharusnya lebih baik daripada apa yang diraihnya. 

"Jadi sama seperti untuk pasukan MotoGP... pusingan satu, dua dan tiga sepatutnya kita kena memaksimakan keputusan sebelum mengharungi saingan di litar di Eropah kerana saingannya pasti lebih sengit," kata Razlan. 

Bermula di GP Jerez, 'penjelajahan' saingan Kejuaraan Motosikal Dunia di benua Eropah bakal berakhir pada September ini di sirkit MotorLand Aragon sebelum Thailand menjadi tuan rumah seterusnya pada 6 Oktober.

 

 

 

390 dibaca
Berita Harian X