Khamis, 18 April 2019 | 9:00pm
LITAR Antarabangsa Sepang (SIC).

20 tahun GP Malaysia bertapak di Sepang

KUALA LUMPUR: Hari ini, genap 20 tahun Grand Prix (GP) Malaysia berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), satu sejarah baharu buat litar kebanggaan negara yang secara asasnya merancakkan pembangunan sukan permotoran di Malaysia.

Sejak 1991, Kejuaraan Motosikal Dunia sudah bertapak di Malaysia, dianjurkan di Litar Batu Tiga Shah Alam dan Litar Johor di Pasir Gudang sebelum Sepang menjadi tuan rumah bagi perlumbaan berprestij berkenaan bermula pada 1999.

Ketika itu, pelumba Amerika Syarikat Kenny Roberts Jr memenangi perlumbaan kelas perdana 500cc bersama pasukan Suzuki, manakala Loris Capirossi (Itali) mengungguli kelas pertengahan 250cc.

Pelumba Jepun, Masao Azuma pula memenangi kelas 125cc - satu kejayaan yang melengkapkan rekod kemenangan ke-100 grand prix disertainya.

"Asasnya, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada 'Bapa Sukan Permotoran'. Tun Dr Mahathir Mohamad - yang sebelum ini Perdana Menteri keempat - atas visinya membawa kejohanan bertaraf dunia ini ke Malaysia pada 1991 dan Formula Satu (F1), lapan tahun selepas itu pada 1999 bagi melengkapkan (kejohanan) di SIC.

"Tanpa sirkit ini dan MotoGP, kita tidak akan dapat menikmati kejayaan sebegini dan meraih pencapaian dalam perlumbaan motosikal dan sukan permotoran secara menyeluruh.

"Selepas penyertaan wildcard sejak perlumbaan pertama pada 1991, penyertaan pertama pelumba Malaysia secara musim penuh dalam Kejuaraan Motosikal Dunia adalah dari Teluk Intan, Perak - Shahrol Yuzy Ahmad Zaini yang melengkapkan tiga musim bersama pasukan PETRONAS Sprinta Team TVK.

“Meskipun tidak ke podium, pembabitan Yuzy kepada arena sukan permotoran negara adalah satu fenomena dan membuka lebih banyak ruang kepada yang lain.

"SIC juga menjadi pemangkin pembangunan sukan permotoran di Malaysia, menimbulkan minat baharu di kalangan rakyat Malaysia kepada sukan permotoran dan secara tidak langsung meyakinkan lebih ramai ibu bapa yang sukan permotoran mampu membina karier lumayan kepada anak mereka," kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali yang kini memegang jawatan selaku prinsipal pasukan PETRONAS Yamaha Sepang Racing.

Kini, Malaysia sudah mempunyai pasukan yang bertanding di kelas perdana MotoGP, dan tahun ini juga adalah tahun paling bermakna dengan pasukan menyertai kesemua kelas dipertandingkan di Kejuaraan Motosikal Dunia.

"Asasnya, kejayaan mempunyai pasukan MotoGP adalah satu fenomena, dan saya amat berbangga menjadi sebahagian daripada sejarah ini.

“Namun jujurnya, saya tidak melihat ia sebagai kemuncak buat pembangunan sukan permotoran di Malaysia. Lebih banyak perkara yang lebih hebat akan muncul pada masa akan datang terutamanya dalam sukan permotoran dua roda negara.

"Kita sudah melihat detik sejarah yang dicipta rakyat Malaysia dalam Kejuaraan Motosikal Dunia seperti SuperKIP (Khairul Idham Pawi) yang memenangi GP Argentina dan Jerman dalam kelas Moto3, Zulfahmi (Khairuddin) meraih penamat kedua di Sepang dan hampir memenangi perlumbaan pada 2012.

“Malah Hafizh Syahrin (Abdullah) berada di podium Moto2 dan kini berada dalam lipatan sejarah, muncul selaku pelumba sulung negara di kelas MotoGP.

"Akan muncul lebih banyak kejayaan pada masa akan datang sekiranya kita terus berusaha gigih dalam membina lebih banyak kejayaan dan mempertingkatkan minat MotoGP di Malaysia," katanya.

455 dibaca
Berita Harian X