Jumaat, 19 April 2019 | 7:07pm
KETUA Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

SIC belum sedia umum rakan sepasukan Cheah

 

KUALA LUMPUR: Tanda tanya mengenai rakan sepasukan pemandu wild card negara, Mitchell Cheah pada Piala Touring Car Dunia (WTCR) di Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC) Disember ini, hanya akan diketahui dalam tempoh dua bulan akan datang.

Buat masa ini, hanya nama Cheah diumumkan sebagai pemegang slot berkenaan dan rakan sepasukannya - yang berkemungkinan dari sukan permotoran empat roda ataupun dua roda - belum didedahkan lagi. 

Begitupun, SIC berkemungkinan akan 'membuka mulut' mengenai individu berkenaan selewat-lewatnya pertengahan tahun ini - tatkala saingan musim WTCR bakal menjengah Slovakia pada 10 hingga 12 Mei ini. 

"Belum lagi," kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali secara berseloroh. "Kita tengok pertengahan tahun dan baru kita akan tahu. (Kemungkinan) Dalam bulan Jun. Tak nak dia menerima gangguan."

Sebagai persediaan bagi menghadapi perlumbaan di Sepang, Cheah dijadual menyertai musim penuh Kejuaraan Touring Car di Jerman yang bakal membuka tirai 2019 di Oschersleben pada 26 hingga 28 April ini. 

Pada Februari lalu, Razlan memberitahu ada dua slot wild card dan satunya sudah diberikan kepada Cheah dengan satu lagi slot mungkin diisi pelumba sukan permotoran dua roda ataupun empat roda tempatan. 

WTCR dijadual berlangsung seiring dengan satu lagi perlumbaan dua roda iaitu Kejuaraan Endurance Dunia (EWC) yang dikenali sebagai Lapan Jam Sepang - dan dua kejuaraan ini menjadi acara julung kali dianjurkan secara serentak.

Untuk perlumbaan EWC - yang menjadi pusingan kelayakan untuk pasukan dari Asia ke perlumbaan Lapan Jam Suzuka pada 2020 - SIC menamakan pelumba PETRONAS Yamaha Sepang Racing, Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo selain pelumba Moto2 negara, Khairul Idham Pawi.

371 dibaca
Berita Harian X