Selasa, 23 April 2019 | 11:40pm
ZULFAHMI Khairuddin. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Zulfahmi harap Adam, Kasma menyerlah di Valencia

KUALA LUMPUR: Zulfahmi Khairuddin mengharapkan anak buahnya yang dijadual beraksi di Kejuaraan CEV dapat meraih keputusan yang lebih baik pada Pusingan 2 di Litar Ricardo Tormo, Valencia hujung minggu ini.

Adam Norrodin dan Kasma Daniel Kasmayudin dijadual membawa momentum positif yang diraih pada pusingan pembuka tirai saingan Moto2 Eropah di Estoril, awal bulan ini ketika kedua-dua pelumba ini juga terpaksa melepaskan saingan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Australia hujung minggu ini kerana pertindihan jadual.


PELUMBA SIC Junior ZK Racing, Adam Norrodin mampu membawa momentum positif pada pusingan pembuka tirai saingan Moto2 Eropah di Estoril. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Bagaimanapun seperti kata Zulfahmi sebelum ini, keutamaan SIC Junior Team yang berada di bawah kendalian Litar Antarabangsa Sepang (SIC) ini adalah saingan di Eropah dan pasukan sudah mempunyai pengganti mereka bagi meneruskan cabaran di peringkat Asia.

"Seperti dirancang pada awalnya, CEV adalah yang utama untuk Adam dan Kasma dan pelumba Impian ke MotoGP yang lain. Jadi minggu ini, kita terpaksa berkorban dengan ARRC dan Kasma serta Adam akan berlumba di CEV di Valencia, minggu ini.

"Pelumba yang akan menggantikan Adam (di ARRC) adalah Ibrahim Norrodin yang juga adiknya. Ibrahim seorang pelumba berpengalaman dengan jentera 600cc dan dia pernah berlumba di ARRC tahun lalu," kata Zulfahmi yang juga ikon permotoran dua roda negara kepada Sukan BH.

Pada saingan pembuka tirai di Estoril lalu, Adam menamatkan perlumbaan masing-masing di tempat kelapan dan ke-15 untuk berada di tangga ke-11 dengan sembilan mata keseluruhan.

Kasma yang mewakili pasukan Dynavolt Intact SIC Junior pula tidak menamatkan Perlumbaan 1 meskipun bermula dari barisan hadapan sebelum menemui garisan penamat kesembilan pada Perlumbaan 2. Kasma kini berada di tangga ke-13 keseluruhan dengan tujuh mata.

"Sudah tentu sasaran di CEV adalah untuk memperbaiki kedudukan dalam sesi latihan dan juga kelayakan. Ini supaya kami boleh bersaing dalam perlumbaan nanti dan kami harus mencari keyakinan bermula dari sesi latihan lagi.

"Saya yakin dengan pasukan yang ada dan krew dari Malaysia ini dapat membantu pelumba untuk memberikan prestasi yang lebih baik di CEV," kata Zulfahmi.

Selain beraksi di Moto2 Eropah, pasukan turut menyertai saingan Moto3 Remaja Dunia di CEV dengan Muhammad Izam Ikmal dan Muhammad Idil Fitri Mahadi menjadi taruhan.

Syarifuddin Azman dan Muhammad Harith Haziq pula menyertai perlumbaan ETC bersama pasukan Dynavolt Intact SIC Junior.

Berita Harian X