Ahad, 5 Mei 2019 | 8:22pm
Khairul Idham Pawi. - Foto Luqman Hakim Zubir

Tempoh pulih SuperKIP belum pasti

KUALA LUMPUR: Doktor pakar yang melakukan pembedahan ke atas Khairul Idham Pawi semalam menyimpulkan operasi menyelamatkan jari kelingking kanan pelumba Moto2 negara itu sebagai kompleks dan kini harus menunggu tindakbalas awal daripada prosedur berkenaan. 

Pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Racing itu terjatuh di Selekoh 5 ketika sesi latihan bebas pertama (FP1) Grand Prix (GP) Sepanyol, Jumaat lalu dan sebaik saja terjatuh, dia dibawa ke Pusat Perubatan di Sirkit Jerez sebelum disahkan tidak cergas untuk meneruskan saingan. 

Khairul Idham kemudiannya dikejarkan ke sebuah hospital di Seville sebelum diterbangkan ke Barcelona untuk tujuan pembedahan bagi menyelamatkan jari kelingkingnya. 

Doktor pakar yang menggalas tanggungjawab melakukan pembedahan, Dr Xavier Mir dan Dr Sergi Barrera dari Bahagian Traumatologi Institut Traumatologi dan Perubatan Sukan Catalan (ICATME) berkata, Khairul Idham mengalami retak tulang jari kelingking kanan selain hilang sebahagian tulang, kulit dan tendon. 

"Ini bermakna peredaran darah ke jarinya hanya berfungsi secara separuh kapasiti," kata Dr Xavier mengenai pembedahan di Hospital Universitari Dexeus yang berlangsung kira-kira lima jam itu. 

Pasukan perubatan yang diketuai Dr Xavier ini adalah pakar bagi merawat kes kecederaan seperti itu dan mempunyai banyak pengalaman melakukan pembedahan ke atas pelumba di Kejuaraan Motosikal Dunia. 

"Ini adalah satu pembedahan yang sangat kompleks, di mana tulang diambil daripada siku dan tisu pembuluh darah daripada jari manisnya sebelum dicantumkan pada jari kelingking.

"Kami sangat berpuashati dengan keputusan ketika ini, apa yang penting ketika ini adalah memantau bagaimana jarinya bertindakbalas dalam tempoh dua atau tiga hari ini.”

Bagaimanapun, tempoh pulih daripada pembedahan itu hanya boleh dinilai sebaik saja pihak perubatan menerima keputusan lanjut berdasarkan pemerhatian yang dilakukan.

Berita Harian X