Ahad, 5 Mei 2019 | 11:02pm
Fabio Quartararo beraksi pada perlumbaan Grand Prix (GP) Sepanyol, hari ini. - Foto AFP
Fabio Quartararo beraksi pada perlumbaan Grand Prix (GP) Sepanyol, hari ini. - Foto AFP

Quartararo takkan mengalah

KUALA LUMPUR: Pelumba PETRONAS Yamaha Sepang Racing (PETRONAS Yamaha SRT), Fabio Quartararo tetap positif meskipun mengalami masalah teknikal pada perlumbaan Grand Prix (GP) Sepanyol, hari ini.

Situasi malang itu menyaksikan pelumba kelahiran Perancis itu gagal menamatkan perlumbaan sekali pun meraih permulaan cemerlang memulakan persaingan daripada petak utama. 

Quartararo yang juga muka baharu dalam kelas MotoGP (rookie) mengalami isu berkenaan pada pertengahan perlumbaan selepas bersaing sengit dengan juara dunia musim lalu yang juga pemenang kali ini, Marc Marquez. 

"Perlumbaan sangat bagus, amat menarik kerana dapat bersaing dengan pelumba ternama," katanya. "Saya mengalami isu teknikal di bahagian gear, ia masalah kecil tetapi meninggalkan kesan yang besar. 

"Apapun saya gembira dengan kerja gigih dilakukan pasukan pada minggu ini dan kami akan meneruskan usaha ini untuk perlumbaan seterusnya."

Semalam, pelumba yang bakal beraksi di laman sendiri di GP Perancis pada 19 Mei ini mencipta sejarah tersendiri apabila muncul selaku pelumba termuda yang menyambar petak utama perlumbaan dalam kelas perdana itu pada usia 20 tahun dan 14 hari. 

Malah, catatan 1 minit 36.880 saat dilakukan Quartararo juga memecah rekod catatan masa sepusingan di litar Jerez yang sebelum ini dipegang Marquez, 1:36.957s.

Selain itu, sesi kelayakan semalam juga melakar sejarah buat pasukan PETRONAS Yamaha SRT apabila kedua-dua pelumbanya bermula daripada barisan depan dengan rakan sepasukan Quartararo, Franco Morbidelli menyambar petak kedua untuk perlumbaan. 

Morbidelli dari Itali bagaimanapun meraih keputusan lebih baik daripada rakan sepasukannya dari Perancis itu, menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh untuk meraih sembilan mata berharga. 

"Sudah tentu (detik sukar)... di Qatar kami melupakan perkara negatif di sana dan yang positif akan hadir dan saya fikir itu adalah lebih baik dan bagus untuk meneruskan persaingan. 

"Di setiap perlumbaan, saya sering melihat kepada Marquez dan ia memberikan saya keyakinan dan saya amat menantikan perlumbaan seterusnya.." kata Quartararo yang di Qatar meraih petak kelima namun menamatkan perlumbaan di tempat ke-16. 

Marquez meraih kemenangan keduanya bagi musim ini selepas mengungguli GP Argentina penghujung Mac lalu, melengkapkan 25 pusingan perlumbaan di Sirkit Jerez dengan catatan 41'08.685s, 1.654s mengatasi Alex Rins dari pasukan Team SUZUKI ECSTAR manakala Maverick Vinales (Monster Energy Yamaha MotoGP) ketiga, 41'11.128s.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X