Selasa, 7 Mei 2019 | 12:58am
Mattia Pasini. - Foto AFP

Pasini ganti SuperKIP

KUALA LUMPUR: Penunggang Itali, Mattia Pasini diumumkan sebagai pengganti bagi pelumba negara, Khairul Idam Pawi yang mengalami kecederaan retak jari kelingking kanan di Grand Prix (GP) Sepanyol minggu lalu.

Pasini dijadual mengisi slot Moto2 yang dikosongkan Khairul Idham bermula di GP Perancis  pada 19 Mei ini bagi membolehkan  pelumba utama PETRONAS sprinta Racing itu menjalani proses pemulihan daripada pembedahan dijalaninya, Sabtu lalu.

Pasini, 30, mempunyai pengalaman luas dalam saingan Kejuaraan Dunia dan mengorak langkah awal kariernya di peringkat berprestij itu pada tahun 2004.

Dia pernah menyertai empat kelas berbeza - 125cc, 250cc, Moto2 dan MotoGP dengan meraih 12 kemenangan secara keseluruhan, 19 petak utama dan 18 penamat di podium dalam 228 perlumbaan Grand Prix disertainya.

Penampilan sulung Pasini bersama pasukan Malaysia itu dijadual pada hari ini ketika sesi ujian rasmi Moto2 sebelum menyertai GP Perancis di Sirkit Le Mans.

"Bukan mudah untuk menggantikan tempat untuk seorang pelumba yang mengalami kecederaan tetapi saya sangat gembira dengan peluang diberikan ini kerana saya sering mengikuti perkembangan pasukan ini," kata Pasini.

"Saya berbangga kerana menjadi sebahagian daripada projek pasukan untuk beberapa perlumbaan dan akan melakukan yang terbaik bagi mendapatkan keputusan yang terbaik untuk pasukan.

"Kami harus berusaha gigih tetapi sekiranya ada pasukan yang kamu boleh bekerjasama, ini adalah satu daripadanya. Saya tidak sabar untuk memulakan hari esok dengan ujian di Jerez sebagai persediaan awal ke Le Mans."

Khairul Idham atau SuperKIP dijangka pulih dalam tempoh enam ke lapan minggu, bergantung kepada tahap pemulihannya daripada kecederaan retak jari kelingking kanan Gred 3 yang dialaminya ketika sesi latihan bebas pertama di Jerez, Jumaat lalu.

Berita Harian X