Jumaat, 17 Mei 2019 | 3:19pm
KHAIRUL Idham Pawi

SuperKIP terkilan

Daripada Sukhairi Thani

[email protected]

PARIS: Pelumba Moto2 negara, Khairul Idham Pawi kecewa apabila tidak dapat beraksi di Grand Prix (GP) Perancis hujung minggu ini namun menegaskan proses memulihkan jari kelingking kanannya lebih penting bagi meneruskan kariernya di Kejuaraan Motosikal Dunia.

Khairul Idham menjalani pembedahan di bahagian jarinya itu selepas terjatuh pada sesi latihan bebas GP Sepanyol dua minggu lalu dan ketika ini pelumba PETRONAS Sprinta Racing berkenaan sedang menjalani rawatan susulan daripada pembedahan yang dilakukan di Barcelona.

"Saya akui sangat kecewa kerana tak dapat berlumba di Le Mans - antara trek kegemaran saya. Namun saya terpaksa akur kerana kecederaan tangan saya perlu pulih dulu demi masa depan dan kerjaya saya.

“Lagipun, tangan saya juga masih dalam jagaan pihak doktor.

"Besi di tangan (jari) mengambil masa enam ke tujuh minggu untuk ditanggalkan dan selepas itu saya perlu menjalani fisioterapi," katanya tatkala tempatnya ketika ini diganti sementara pelumba berpengalaman dari Itali, Mattia Pasini.

Proses rawatan pemulihan Khairul Idham yang dikenali sebagai SuperKIP dijangka mengambil masa enam ke lapan minggu untuk kembali pulih seperti sedia kala dan ini bermakna dia kemungkinan besar bakal membuat kemunculan semula di GP Catalunya ataupun Assen.

"Kemungkinan di Catalunya ataupun Assen kerana saya perlu melakukan fisioterapi lagi selepas besi itu ditanggalkan kerana tulang saya hilang dan itu menyebabkan ia memerlukan sedikit masa," katanya.

Khairul Idham yang memasuki tahun ketiga dalam kelas pertengahan itu ketika ini sudah mengumpul tiga mata untuk berada di tangga ke-23 keseluruhan, berkongsi mata dengan pelumba dari Switzerland, Jesko Raffin.

Berita Harian X