Ahad, 2 Jun 2019 | 9:55pm
FABIO Quartararo. - Foto AFP

Quartararo ke-10 GP Itali

 

KUALA LUMPUR: Impian untuk melihat pelumba PETRONAS Yamaha Sepang Racing (PETRONAS Yamaha SRT), Fabio Quartararo menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Itali di podium dekat Sirkit Mugello, sebentar tadi tidak kesampaian. 

Pelumba muka baharu (rookie) dalam kelas MotoGP itu bermula dari petak kedua di samping penghuni petak utama dari Repsol Honda, Marc Marquez dan pemenang kali ini, Danilo Petrucci (Mission Winnow Ducati) namun tidak dapat menemui permulaan yang baik.

Quartararo atau dikenali sebagai 'El Diablo' menamatkan 23 pusingan perlumbaan dengan catatan 41 minit 51.788 saat untuk berada di tempat ke-10 dalam saingan menyaksikan Petrucci dan rakan sepasukannya, Andrea Dovizioso meraih penamat 1-3 di laman sendiri. 

Melengkapkan pentas podium Mugello di tempat kedua adalah juara dunia lima kali dari Repsol Honda Team, Marquez. 

Biarpun begitu, dengan penamat ke-10 yang menjanjikan enam mata itu, Quartararo kini sudah mengumpul 31 mata untuk berada di tangga ke-12 keseluruhan. 

Dalam pada itu, rakan sepasukan Quartararo, Franco Morbidelli pula tidak menamatkan perlumbaan di laman sendiri selepas terjatuh pada pusingan ketujuh. 

Morbidelli berada di tangga ke-11 keseluruhan dengan berkelebihan tiga mata daripada rakan sepasukannya itu. 

Perlumbaan Pusingan 7 Kejuaraan Motosikal Dunia selepas ini dijadual berlangsung di GP Catalunya pada 16 Jun ini.

Berita Harian X