Ahad, 9 Jun 2019 | 9:41pm
Pelumba Moto GP Negara, Hafizh Syahrin (tengah) melayan tetamu yang hadir pada majlis rumah terbuka aidilfitri di D'Kayangan. - NSTP/Roslin Mat Tahir
Pelumba Moto GP Negara, Hafizh Syahrin (tengah) melayan tetamu yang hadir pada majlis rumah terbuka aidilfitri di D'Kayangan. - NSTP/Roslin Mat Tahir

GP Perancis azimat berguna Hafizh Syahrin

SHAH ALAM: Hafizh Syahrin Abdullah menganggap Grand Prix (GP) Perancis pada pertengahan Mei lalu banyak membantu dalam menaikkan semula semangatnya untuk kembali menamatkan perlumbaan dalam kelompok 15 terbaik. 

Pada perlumbaan di Sirkit Le Mans itu, Hafizh meraih mata pertamanya bagi musim ini dengan menamatkan saingan di tempat ke-14 selepas bermula dari petak ke-21 untuk membawa pulang dua mata. 

Momentum itu seterusnya dibawa pelumba pasukan Red Bull KTM Tech3 itu ke GP Itali pada 2 Jun lalu namun Hafizh yang memasuki tahun keduanya dalam kelas MotoGP tidak dapat menamatkan perlumbaan kerana masalah teknikal di bahagian tayar. 

"Alhamdulillah Le Mans memberi satu semangat untuk saya memperoleh mata," kata Hafizh selepas majlis rumah terbukanya di sini, hari ini.

"Di Mugello (Itali) sepatutnya saya boleh meraih satu ataupun dua mata tetapi ada masalah teknikal di bahagian tayar depan.

"Ini saya tidak dapat elakkan, jadi terpaksa tidak menamatkan perlumbaan dan di Catalunya nanti saya akan buat yang terbaik. Tentunya saya mahukan mata di setiap pusingan dan itulah sasaran saya. 

"Apapun saya tidak boleh ambil mudah, perlu fokus dan kena melakukan yang terbaik di sepanjang masa."

Hafizh dijadual menyertai perlumbaan pusingan ketujuh musim di GP Catalunya dari 14 hingga 16 Jun ini di Sirkit Barcelona-Catalunya - salah sebuah trek kegemarannya. 

"Trek ini adalah salah sebuah trek kegemaran saya dan boleh dikatakan sebagai GP laman sendiri kedua untuk saya kerana saya tinggal, berlatih dan berpangkalan di sana. 

"Saya meminati trek ini dan berharap jentera KTM dapat memberi kelainan di sana. Saya akan cuba yang terbaik. 

"Walaupun sukar untuk untuk memberi satu kata yang menjanjikan penamat dalam kelompok 10 terbaik atau apapun, saya tetap akan cuba yang terbaik kerana tahun ini agak mencabar daripada tahun sebelum ini," kata Hafizh.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X