Selasa, 11 Jun 2019 | 11:17am
Adam Norrodin. - Foto Luqman Hakim Zubir
Adam Norrodin. - Foto Luqman Hakim Zubir

Adam masih belum puas

KUALA LUMPUR: Adam Norrodin seperti masih belum 'puas' dengan pencapaiannya di Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Eropah (CEV) di Sirkit Barcelona-Catalunya kelmarin apabila dirinya mengharapkan penamat dalam kelompok lima terbaik di perlumbaan akan datang di Sirkit Aragon, 14 Julai ini. 

Pelumba SIC Junior Team itu menamatkan Perlumbaan 1 di litar Barcelona-Catalunya di tempat ke-11 selepas bermula dari petak ke-13 sebelum memperbaiki kedudukannya pada Perlumbaan 2 dengan berada di tempat kelapan.

"Saya memperoleh pelarasan motosikal yang agak baik, lebih baik daripada Valencia dan Estoril. Sekarang, pasukan berada di landasan yang baik dan kami akan cuba mengekalkan rentak ini untuk saingan seterusnya di Aragon,” kata bekas pelumba Moto3 negara di Kejuaraan Motosikal Dunia itu. 

"Semestinya dengan keyakinan yang dicapai di sini akan dibawa ke sirkit Aragon dan saya secara keseluruhannya gembira dengan keputusan ini. Namun masih ada lagi yang perlu dipertingkatkan, baik daripada diri sendiri dan juga motosikal. 

“Kami akan terus menambah usaha di Aragon untuk mencapai penamat dalam kelompok lima terbaik."

Adam kini berada di tangga kesembilan dalam carta pelumba dengan 28 mata, ketinggalan sembilan mata daripada seorang lagi pelumba negara dari pasukan ONEXOX TKKR SAG TEAM, Ramdan Rosli yang mengumpul 37 mata (di kedudukan kelapan). Pelumba Sepanyol, Edgar Pons terus mendahului carta keseluruhan dengan 111 mata selepas mengungguli kedua-dua perlumbaan kali ini. 

Sementara itu, pelumba pasukan Dynavolt Intact SIC Junior Team, Kasma Daniel Kasmayudin menamatkan saingan masing-masing di tempat ke-14 dan ke-17 seterusnya berada di tangga ke-13 dengan 18 mata keseluruhan.

Rakan sepasukan Ramdan yang juga pelumba berpengalaman negara, Azlan Shah Kamaruzaman pula menemui garisan penamat ke-10 dan ke-12 selepas bermula daripada grid sukar, ke-20. 

Azlan kini menduduki tangga ke-18 keseluruhan dengan 10 mata tatkala saingan musim 2019 masih berbaki empat pusingan dengan yang kemuncaknya pada 10 November ini di Sirkit Ricardo Tormo.

Berita Harian X