Rabu, 12 Jun 2019 | 8:58pm
Pelumba PETRONAS Yamaha Sepang Racing (PETRONAS Yamaha SRT), Franco Morbidelli. - Foto Motorsport.com

Perasaan campur baur iringi Morbidelli di GP Catalunya

KUALA LUMPUR: Pelumba PETRONAS Yamaha Sepang Racing (PETRONAS Yamaha SRT), Franco Morbidelli menyertai pusingan ketujuh Kejuaraan Motosikal Dunia musim 2019 di Grand Prix (GP) Catalunya dengan perasaan bercampur-baur.

Morbidelli yang berasal dari Itali, tiba di Litar Barcelona-Catalunya pada minggu ini dengan berbekalkan kekecewaan di GP Itali, 2 Jun lalu apabila tidak menamatkan perlumbaan selepas terjatuh di Selekoh 15 pusingan keenam saingan di Litar Mugello - namun positif dengan usaha dilakukan pasukan terhadap jentera Yamaha YZR-M1 ditunggangnya.

"Litar Barcelona-Catalunya adalah antara trek yang saya gemari," kata pelumba dari Rom berusia 24 tahun itu. "Kami ke Barcelona dengan perasaan bercampur-baur.

"Kami positif dengan usaha dilakukan di sepanjang berada di Itali sebelum ini tetapi kami kecewa dengan keputusan perlumbaan. Saya amat yakin untuk meraih satu perlumbaan yang baik dan terus mengumpul mata penting untuk kedudukan keseluruhan."

Morbidelli yang memasuki musim keduanya dalam kelas perdana MotoGP ketika ini berada di tangga ke-11 keseluruhan dengan 34 mata manakala rakan sepasukannya dari Perancis dan juga muka baharu (rookie), Fabio Quartararo ke-12 dengan 31 mata.

Mengulas lanjut mengenai Litar Barcelona-Catalunya, Morbidelli yang menamatkan perlumbaan musim lalu di tempat ke-14 berkata: "Tahun lalu saya berasa selesa di sana pada musim pertama saya dalam saingan MotoGP dan mampu beraksi pantas, menamatkan perlumbaan dalam kelompok yang menjanjikan kutipan mata."

Untuk rekod di sepanjang kariernya di Kejuaraan Motosikal Dunia sejak 2014, pencapaian terbaik Morbidelli di GP Catalunya adalah berada di tempat kelima iaitu ketika menyertai saingan kelas Moto2 pada 2017 - tahun yang menyaksikan dirinya bergelar juara keseluruhan bagi saingan kelas pertengahan itu.

JADUAL GP CATALUNYA

JUMAAT -

3ptg-3.40ptg - Latihan Bebas 1 (Moto3)

3.55ptg-4.40ptg - Latihan Bebas 1 (MotoGP)

4.55ptg-5.35ptg - Latihan Bebas 1 (Moto2)

7.15ptg-7.55ptg - Latihan Bebas 2 (Moto3)

8.10mlm-8.55mlm - Latihan Bebas 2 (MotoGP)

9.10mlm-9.50mlm - Latihan bebas 2 (Moto2)

*waktu Malaysia

Berita Harian X