Jumaat, 14 Jun 2019 | 6:21pm
PELUMBA PETRONAS Sprinta Racing, John McPhee. . - Foto PETRONAS Sprinta Racing
PELUMBA PETRONAS Sprinta Racing, John McPhee. . - Foto PETRONAS Sprinta Racing

McPhee taruhan terbaik di GP Catalunya

 

KUALA LUMPUR: Kem Moto3 PETRONAS Sprinta Racing sudah sedia mengharungi Grand Prix (GP) Catalunya minggu ini dengan seorang daripada pelumbanya - John McPhee pernah meraih pencapaian terbaiknya di Sirkit Barcelona-Catalunya di tempat keempat. 

Pelumba dari Scotland yang mempunyai pengalaman dalam kelas berkenaan sejak 2012 berkata, misinya kali ini tetap sama seperti enam pusingan musim 2019 - untuk berada dalam kelompok pendahulu dan bersaing sehingga ke garisan penamat dalam usaha memburu kemenangan. 

"Saya tidak sabar untuk perlumbaan ini," kata McPhee. "Tahun lalu saya meraih keputusan terbaik di Sirkit Barcelona-Catalunya dan saya begitu hampir untuk memenangi perlumbaan.

"Objektif di Barcelona adalah meneruskan corak sama seperti pada beberapa perlumbaan sebelum ini, untuk berada dalam kelompok pendahulu dan berjuang sehingga pusingan terakhir dan memberikan segala-galanya untuk mencabar kemenangan.

"Bagaimanapun, saya tidak mengharapkan perlumbaan nanti mempunyai satu kelompok depan yang besar seperti di Mugello, jadi kami mencari satu strategi terbaik. 

"Kami meraih keputusan positif ketika ujian di sini baru-baru ini dan saya sudah bersedia untuk memberikan saingan kerana ini adalah trek saya gemari. Kami perlu mempertingkatkan posisi dalam kedudukan keseluruhan."

Pada perlumbaan sebelum ini di GP Itali, McPhee yang meraih kemenangan di GP Perancis itu menamatkan saingan di tempat keenam selepas bermula dari petak ke-17.

McPhee ketika ini berada di tangga kelapan dengan 44 mata, ketinggalan 39 mata daripada pendahulu ketika ini dari Sepanyol, Aron Canet manakala rakan sepasukannya Ayumu Sasaki ke-19 dengan 14 mata.

 

 

Berita Harian X