Rabu, 24 Julai 2019 | 11:18am
HAFIZH Syahrin Abdullah di Grand Prix Belanda.

Hafizh sumber inspirasi pelumba muda

KUALA LUMPUR: Zulfahmi Khairuddin mempunyai pandangan tersendiri mengenai rakan seperjuangannya Hafizh Syahrin Abdullah selain menganggap pelumba di kelas MotoGP itu mempunyai pengaruh amat kuat dalam jiwa bakat muda arena sukan permotoran negara.

Berdasarkan pengamatannya sebagai pembimbing pelumba baharu, Zulfahmi dapat melihat betapa karier Hafizh memainkan peranan besar kepada bakat muda yang ingin melangkah jauh sehingga ke pentas saingan berprestij itu. 

"Sebagai seorang yang diberi tugas membangunkan pelumba muda ke Kejuaraan Motosikal Dunia, saya yakin Hafizh adalah inspirasi kepada pelumba muda untuk pergi bersaing di sana. 

“Malah, saya tahu Hafizh juga adalah salah satu sebab kenapa mereka bercita-cita untuk menjadi pelumba MotoGP kerana pada masa ini, perkara itu bukanlah sesuatu yang mustahil. 

"Mungkin kalau nak bercakap mengenai impian menjadi pelumba MotoGP pada enam atau 10 tahun lalu, tiada siapa yang percaya tetapi sekarang Hafizh sudah membuktikan pelumba Malaysia juga boleh ke MotoGP dan ini adalah satu motivasi kepada pelumba (muda) di Malaysia," kata Zulfahmi.

Bekas pelumba dalam kelas Moto3, Moto2 dan di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) itu ketika ini menjadi tunjang kepada pembangunan bakat muda di bawah program 'Impian ke MotoGP' kendalian Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Selain itu, dia turut bertindak sebagai pengurus pasukan ZK Racing Team yang mempunyai kira-kira lapan pelumba di bawah kendaliannya. 

Tahun lalu, Hafizh mencipta sejarah sebagai pelumba Malaysia dan Asia Tenggara pertama menyertai kelas MotoGP bersama pasukan Tech3 yang ketika itu masih menggunakan jentera Yamaha dan menamatkan saingan musim selaku pelumba muka baharu (rookie) kedua terbaik di belakang pelumba PETRONAS Yamaha Sepang Racing ketika ini, Franco Morbidelli. 

Bagaimanapun prestasi Hafizh tampak hambar pada musim ini selepas bergelut menyesuaikan diri dengan jentera baharu digunakan pasukan, KTM.

Setakat sembilan pusingan musim ini, Hafizh baru mengumpul tiga mata. 

Kebimbangan mengenai hala tuju Hafizh musim depan juga dipandang serius Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman apabila semalam memberitahu akan ada satu pertemuan antara dirinya, Hafizh, SIC dan penaja utama pasukan Malaysia, PETRONAS dalam masa terdekat ini.

Pertemuan itu tidak lain tentunya bagi mencari penyelesaian terbaik terhadap karier Hafizh yang pada pandangan Syed Saddiq, ini adalah waktu paling sesuai untuk memasukkan pelumba itu di dalam pasukan Malaysia, PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (kelas MotoGP) dan PETRONAS Sprinta Racing (kelas Moto2 dan Moto3). 

Pandangan itu turut menerima reaksi positif daripada Zulfahmi yang menyifatkan 'Hafizh dan PETRONAS adalah sinonim' apatah lagi kedua-duanya pernah bergandingan ketika Hafizh menyertai saingan kelas Moto2 dunia dari 2014 hingga 2017.

 

"Apabila Hafizh beraksi dengan PETRONAS semula, tentunya dia akan nampak 'lebih Hafizh Syahrin' kerana zaman kegemilangan Hafizh adalah dengan PETRONAS. 

“Saya rasa, di Malaysia ini, tidak ada pelumba yang boleh menunggang sehebat Hafizh. Mungkin ada dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi tetapi buat masa sekarang, hanya Hafizh saja," kata Zulfahmi.

Berita Harian X