Jumaat, 26 Julai 2019 | 11:39pm
Sebastien Vettel melakar masa terpantas buat Ferrari pada sesi latihan pembukaan di Grand Prix (GP) Jerman. - Foto Reuters

Vettel laung amaran awal

HOCKENHEIM, JERMAN: Sebastien Vettel melakar masa terpantas buat Ferrari pada sesi latihan pembukaan di Grand Prix (GP) Jerman dengan rakan sepasukannya, Charles Leclerc melengkapkan kedudukan satu dua.

Juara dunia empat kali itu melengkapkan litar sepusingan yang berjarak 4.5 kilometer dengan catatan satu minit 14.013 saat (s) di litar Hockenheim yang terletak setengah jam pemanduan daripada kediamannya di Heppenheim.

Pelumba Jerman yang mengalami kemalangan ketika mendahului perlumbaan pada musim lalu itu berkelebihan 0.255s di hadapan Leclerc.

Pendahulu kejuaraan, Lewis Hamilton merakam masa ketiga terpantas namun ketinggalan 0.302s di belakang Vettel.

Pelumba dari Britain yang mendahului rakan sepasukannya, Valtteri Bottas dengan 39 mata dan memenangi tujuh daripada 10 perlumbaan menyatakan kerisauan betapa cuaca panas di Eropah dapat menjejaskan rentak kemenangannya.

Suhu di litar boleh mencecah sehingga lebih 40 darjah celcius ketika suhu bilik adalah sekitar pertengahan 30 darjah celcius.

Bottas pula menamatkan sesi latihan pada kedudukan kelima, diapit pelumba Red Bulls, Max Verstappen yang mencatat masa keempat terpantas sementara Pierre Gasly di tempat keenam. - AFP

283 dibaca
Berita Harian X