Sabtu, 3 Ogos 2019 | 9:31pm
JOHN McPhee ketika sesi kelayakan GP Republik Czech, hari ini.

McPhee sambar barisan depan GP Republik Czech

 

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 PETRONAS Sprinta Racing, John McPhee memulakan pusingan pertama separuh kedua musim 2019 di Grand Prix (GP) Republik Czech dengan langkah positif apabila bakal memulakan perlumbaan di Litar Brno dari barisan depan, esok. 

Pada sesi kelayakan tadi, McPhee melakukan catatan terbaiknya 2 minit 18.420 saat pada sesi kelayakan kedua dalam keadaan litar basah, 0.400s di belakang pelumba yang menyambar petak utama dari pasukan VNE Snipers, Tony Arbolino.

"Saya berasa agak baik untuk perlumbaan... terlepas petak utama tetapi sangat gembira berada di barisan depan," kata pelumba dari Scotland itu yang memenangi GP Perancis, Mei lalu. 

"Seperti biasa, pasukan melakukan tugas dengan penuh menakjubkan jadi sudah pasti saya amat menantikan perlumbaan esok."

Selepas sembilan pusingan, McPhee, 25, sudah mengumpul 68 mata untuk berada di tangga keenam keseluruhan manakala rakan sepasukannya dari Jepun, Ayumu Sasaki di tangga ke-21 dengan 29 mata. 

Mengulas mengenai sesi kelayakan hari ini, Sasaki yang bakal memulakan perlumbaan 21 pusingan esok berkata: "Hari ini dengan keadaan litar basah, saya tidak dapat menemui rentak sepatutnya. 

"Pada sesi latihan ketiga, tidak pantas. Begitu juga pada sesi kelayakan, saya tidak menemui kelajuan sepatutnya dalam keadaan trek basah. Saya mohon maaf kepada pasukan, apapun saya sudah lakukan apa yang termampu. 

"Saya harus memikirkan sesuatu untuk mencari peningkatan dalam keadaan litar basah. Sama juga di trek lain tahun ini, saya juga bergelut dalam keadaan litar basah. 

"Saya berharap dapat mengejar kelompok depan dengan secepat mungkin pada perlumbaan esok."

Sasaki bakal memulakan perlumbaan dari petak ke-24 selepas mencatat masa terbaiknya, 2'21.679s pada sesi kelayakan pertama.

Berita Harian X