Ahad, 4 Ogos 2019 | 8:55pm
PELUMBA pasukan Moto3 PETRONAS Sprinta Racing, Ayumu Sasaki. - Foto AFP

Sasaki penyelamat pasukan di GP Republik Czech

KUALA LUMPUR: Ayumu Sasaki muncul penyelamat pasukan Moto3 PETRONAS Sprinta Racing apabila menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Republik Czech dalam kelompok pungutan mata manakala rakan sepasukannya yang bermula di barisan utama, John McPhee tidak menamatkan saingan. 

Sasaki mengumpul lima mata berharga apabila menamatkan 18 pusingan saingan di tempat ke-11 dengan catatan 39 minit 15.742 saat, 3.863s di belakang pemenang dari Sepanyol yang juga pendahulu carta pelumba Moto3 ketika ini, Aron Canet. 

Sasaki yang memulakan perlumbaan dari petak ke-24 di Litar Brno berada di tangga ke-19 dengan 34 mata.

"Saya bergelut pada minggu ini, tidak cukup kuat, tidak pantas. Kami bergelut sehinggalah hari perlumbaan," kata Sasaki yang sudah memasuki tahun ketiganya dalam kelas Moto3 Kejuaraan Motosikal Dunia. 

"Dalam perlumbaan, saya berupaya mengekori kelompok depan. Apapun sekali lagi, saya tidak begitu kuat. Saya tidak mempunyai kelajuan sepatutnya. Apabila berada dalam kelompok kedua depan... pada baki lima pusingan, saya ketinggalan satu saat di belakang kelompok depan tapi sukar untuk saya mengejar mereka. 

"Pada penghujungnya, saya menamatkan perlumbaan di tempat ke-11, satu perlumbaan yang hebat. Dari petak ke-24 ke penamat ke-11, adalah sesuatu yang baik. Sama sekali tidak dijangka.

"Namun, saya sedikit kecewa kerana tidak dapat memberikan yang terbaik kepada pasukan biarpun saya sudah memberikan segala-galanya. Saya harap perlumbaan di Austria nanti lebih baik."

Sementara itu, McPhee yang memulakan separuh kedua musim dengan menyambar petak kedua pada sesi kelayakan, hanya melengkapkan satu pusingan sebelum berdepan masalah teknikal. 

 

 

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X