Isnin, 5 Ogos 2019 | 12:13am
LEWIS Hamilton memenangi Grand Prix Hungary di Litar Hungaroring. - Foto AFP

Hamilton menang GP Hungary

HUNGARORING, Hungary: Lewis Hamilton kembali mendapat momentum dalam mempertahankan kedudukan sebagai pendahulu kejuaraan pemandu dengan kemenangan ke atas pesaing muda Max Verstappen di Grand Prix Hungary.

Juara bertahan lima kali berusia 34 tahun itu bermula dari petak ketiga dengan jentera Mercedesnya, dan selepas mengekori rapat pemandu 21 tahun dari Belanda itu, akhirnya dia mendahului perlumbaan pada pusingan ke-67 daripada 70 keseluruhan.

Hamilton mencatat rekod tujuh kemenangan di Hungary dan ke-81 kariernya, sekali gus memusnahkan harapan Red Bull untuk menyaksikan Verstappen memenangi perlumbaan selepas meraih petak utama.

Verstappen yang mendahului perlumbaan sebelum tayarnya botak, ketinggalan 17.796 saat di belakang Hamilton dan turut mencatat rekod pusingan terpantas di litar berkenaan selepas melakukan hentian pit di penghujung perlumbaan.


LEWIS Hamilton (tengah) meraikan kejayaan menjuarai Grand Prix Hungary bersama pemenang tempat kedua, Max Verstappen (kiri) dan Sebastian Vettel (ketiga). - Foto AFP

Juara empat kali Sebastian Vettel dari Ferrari di tempat ketiga, diikuti rakan sepasukannya Charles Leclerc, Carlos Sainz dari McLaren dan pemandu Red Bull Pierre Gasly.

“Pemanduan hebat, strategi menjadi,” kata jurutera perlumbaan Hamilton, Peter Bonnington. “Hanya anda yang mampu melaksanakannya hari ini.”

Mercedes menyamai strategi Red Bull dari awal sehingga mengambil risiko dengan hentian pit tambahan yang menyaksikan Hamilton perlu mengejar jurang 20 saat dalam 20 pusingan dengan tayar baharunya – tindakan yang menyebabkan Verstappen merungut kepada pasukannya sebelum dipintas akibat tayar semakin botak. – AFP

743 dibaca
Berita Harian X