Sabtu, 10 Ogos 2019 | 8:38pm
Pelumba SIC Junior ZK Racing, Adam Norrodin (kiri) memenangi Perlumbaan 1 Pusingan 5 di Litar Antarabangsa, Zhuhai, hari ini.. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Zaqhwan, Adam takluk Litar Zhuhai

KUALA LUMPUR: Adam Norrodin meraih kemenangan pertamanya dalam Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2019 apabila memenangi Perlumbaan 1 Pusingan 5 di Litar Antarabangsa, Zhuhai, hari ini.

Pelumba SIC Junior ZK Racing itu menamatkan perlumbaan kelas SuperSports 600cc sebanyak 12 pusingan itu dengan catatan keseluruhan 19 minit 38.917 saat.

Kemenangan berkenaan tentunya menjadi pembakar semangat tambahan buat Adam untuk mengulangi kejayaan sama pada Perlumbaan 2, esok. 

"Sesi kelayakan tidak begitu baik. Walau bagaimanapun, saya tidak berputus asa daripada awal saingan sehinggalah ke penghujung perlumbaan," kata Adam yang juga bekas pelumba Moto3 di Kejuaraan Motosikal Dunia itu. 

"Ini pengalaman pertama buat pasukan. Kemenangan ini untuk pasukan kerana mereka banyak berjasa dan sentiasa berusaha gigih demi mencapai kejayaan.  Esok, ada satu lagi perlumbaan dan saya akan cuba yang terbaik seperti hari ini."

Rakan Adam dalam Program Pembangunan Bakat Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Kasma Daniel Kasmayudin (Hong Leong YAMAHA Malaysia) meraih penamat kedua apabila hanya ketinggalan 0.067s. 

Tempat ketiga diraih pelumba Thailand, Peerapong Boonlert (YAMAHA Thailand Racing Team) dengan catatan 19'39.112s.

Sementara itu, seorang lagi negara, Md Zaqhwan Zaidi menjuarai Perlumbaan 1 kelas ASB1000 yang sekali gus melonjakkan kedudukannya ke tangga kedua saingan elit berkenaan dengan 140 mata.

Pelumba pasukan Honda Asia Dream Racing with SHOWA itu menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 20:38.147s dengan pelumba Jepun, Yuki Ito (Yamaha Racing Team ASEAN) menduduki tempat kedua manakala tempat ketiga menjadi milik Thitipong Warokom (Kawasaki Thailand Racing Team).

Selepas Zhuhai, Pusingan 6 musim dijadual kembali menjengah SIC pada 19 hingga 22 September ini sebelum Litar Antarabangsa Chang, Thailand menjadi lokasi penutup tirai 2019, 29 November hingga 1 Disember nanti.

Berita Harian X