Ahad, 11 Ogos 2019 | 6:57pm
PELUMBA SIC Junior ZK Racing, Adam Norrodin (kiri). NSTP/Luqman Hakim Zubir

Kasma, Adam takluk Litar Antarabangsa Zhuhai

KUALA LUMPUR: Keputusan positif di Litar Antarabangsa Zhuhai, China minggu ini bakal dijadikan azimat buat Adam Norrodin menghadapi Pusingan 6 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di laman sendiri pada 19 hingga 22 September ini. 

Hari ini, pelumba SIC Junior ZK Racing itu sekali lagi menaiki pentas podium - kali ini menamatkan Perlumbaan 2 kelas SuperSports 600cc di tempat kedua selepas memenangi Perlumbaan 1 semalam. 

Adam sekali lagi diberi cabaran sengit daripada rakannya dalam program Pembangunan Bakat Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Kasma Daniel Kasmayudin yang kali ini menakluk litar dengan kelebihan 0.075 saat. 

"Saya sudah memberikan saingan sengit pada tiga pusingan terakhir. Saya cuba memintas Kasma pada dua selekoh terakhir dan pada selekoh terakhir, saya berikan segala-galanya dan tidak mahu melakukan seperti semalam.

"Begitukan, Kasma mengambil risiko tinggi pada selekoh terakhir dengan membrek lambat. Secara keseluruhan, saya gembira dengan prestasi minggu ini. 

"Kemenangan pertama semalam dan satu persaingan yang begitu hebat minggu ini. Tentunya, ia akan menjadi motivasi berguna apabila pusingan seterusnya dijadual berlangsung di laman sendiri nanti," kata Adam. 

Tempat ketiga Perlumbaan 2 dimenangi pelumba Thailand dari pasukan Yamaha Thailand Racing Team, Peerapong Boonlert yang ketinggalan 0.149s di belakang Kasma.

 

 

Berita Harian X