Ahad, 11 Ogos 2019 | 7:01pm
PELUMBA Moto3 PETRONAS Sprinta Racing, John McPhee (kanan) raih tempat ketiga di GP Austria. - Foto AFP

McPhee ketiga GP Australia

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 PETRONAS Sprinta Racing, John McPhee menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Austria di tempat ketiga selepas menerima petak utama 'saat akhir', hari ini. 

McPhee yang bermula dari petak utama selepas berlaku 'rombakan' grid berpunca daripada 16 pelumba dikenakan penalti, menemui garisan penamat 23 pusingan perlumbaan dengan catatan keseluruhan 37 minit 51.240 saat, 1.105s di belakang pemenang, Romano Fenati (VNE Snipers). 

Melengkapkan pentas podium di Litar Red Bull Ring-Spielberg adalah rakan sepasukan Fenati, Tony Arbolino yang mencatat masa keseluruhan 37'51.232s.

"Tentunya saya gembira dengan diri dan pasukan yang sentiasa berusaha sebaik mungkin dalam beberapa perlumbaan sebelum ini," kata McPhee yang selepas ini bakal beraksi di laman sendiri, GP British 25 Ogos ini.

"Saya mempunyai beberapa minggu lagi sebelum GP di laman sendiri di Silverstone. Saya mahu berada di tahap kecergasaan sepatutnya dan kuat untuk perlumbaan itu nanti," katanya. 

Rakan sepasukan McPhee, Ayumu Sasaki pula menamatkan perlumbaan di tempat ke-13 sekali gus meraih tiga mata berharga. 

Pelumba dari Jepun itu menamatkan perlumbaan dengan catatan 38'14.019s. 

Selepas 11 pusingan musim, McPhee berada di tangga keenam keseluruhan dengan 84 mata manakala Sasaki ke-19 mengumpul 37 mata. 

Pelumba Itali dari pasukan Leopard Racing, Lorenzo Dalla Porta yang menamatkan perlumbaan di tempat keenam, mengungguli kedudukan keseluruhan Moto3 dengan 155 mata. 

Aron Canet (Sterilgarda Max Racing Team) mengekori rapat di tangga kedua dengan 154 mata.

Berita Harian X