Ahad, 11 Ogos 2019 | 8:54pm
Aksi pelumba PETRONAS Sprinta Racing, Jonas Folger berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ke-18.

Binder ceriakan KTM

KUALA LUMPUR: Brad Binder menggembirakan KTM dalam kategori pengeluar dengan memenangi saingan kelas Moto2 Grand Prix (GP) Austria tatkala wakil PETRONAS Sprinta Racing, Jonas Folger menamatkan perlumbaan di tempat ke-18. 

Pelumba dari Afrika Selatan, Binder menemui garisan penamat 25 pusingan dengan catatan keseluruhan 37 minit 24.963 saat manakala Folger ketinggalan 25.226s di belakang wakil pasukan Red Bull KTM Ajo itu.

Tempat kedua dimenangi pelumba Sepanyol, Alex Marquez (EG 0,0 Marc VDS) dan Jorge Navarro (Beta Tools Speed Up) melengkapkan pentas podium di tempat ketiga. 

Malah, kejayaan Binder itu hadir pada hari ulang tahun kelahirannya hari ini sekali gus memberikannya satu memori indah sebelum dinaikkan ke kelas MotoGP musim depan.  

Folger menggantikan Khairul Idham Pawi secara sementara pada perlumbaan di GP Republik Czech, minggu lalu selepas kecederaan jari kelingking kanan wakil Malaysia itu belum pulih sepenuhnya.

Malah, Folger pernah menggantikan Khairul Idham pada tiga pusingan sebelum rehat musim panas di GP Catalunya, Belanda dan laman sendirinya Jerman.

 

Daripada lima pusingan itu, pelumba Jerman itu masih belum mengutip sebarang mata dengan penamat terbaiknya adalah berada di tempat ke-17.

724 dibaca
Berita Harian X