Sabtu, 17 Ogos 2019 | 7:17pm
Wakil tunggal Asia di Kejuaraan Touring Car Jerman TCR ADAC, Mitchell Cheah.

Medan Cheah tebus kecewa

KUALA LUMPUR: Detik malang di pusingan keempat Kejuaraan Touring Car Jerman TCR ADAC di Sirkit Zandoort, Belanda minggu lalu memaksa pemandu negara Mitchell Cheah untuk kembali bangkit pada pusingan seterusnya di Nurburgring, Jerman yang kemuncak saingannya, esok.

Pemandu berusia 21 tahun itu berkata, nasib tidak menyebelahinya di Zandoort dan baginya cabaran seterusnya minggu ini adalah medan untuk menebus kekecewaan.

"Ini kali pertama saya berlumba di litar itu dan saya hanya melalui dua sesi latihan sahaja," katanya yang dijadual menyertai perlumbaan berprestij, Piala Touring Car Dunia (WTCR) di Litar Antarabangsa Sepang, pertengahan Disember ini.

"Jadi, amat sukar untuk menyesuaikan diri. Begitupun, saya berazam untuk bekerja keras bagi memperbaiki kedudukan pada pusingan yang akan datang.”

Pada perlumbaan di Zandoort, Cheah berdepan faktor cuaca dan kerosakan teknikal dan isu berkenaan memaksanya untuk menamatkan kedua-dua perlumbaan lebih awal.

"Pada perlumbaan pertama, saya mahu lakukan yang terbaik dan pasukan juga yakin saya mampu melakukannya memandangkan kereta dalam keadaan  baik.

"Saya berjaya mengatasi empat orang pelumba di depan tetapi malangnya saya dilanggar pada bahagian belakang dan memaksa saya untuk menamatkan perlumbaan.

“Pada perlumbaan kedua, saya berjaya memperbaiki pemanduan dan berada di kedudukan kelapan tetapi pada lima pusingan terakhir asap mula keluar dari kereta dan saya tiada pilihan lain selain menamatkan perlumbaan," kata Cheah.

Berita Harian X