Rabu, 21 Ogos 2019 | 11:28pm
MOHD Henzee Hamzah (kiri) dibantu jurupandu, Amirul Syamim Khalid. - Foto ihsan One Motorsports

One Motorsports sertai Kejuaraan Rali Thailand

 

KUALA LUMPUR: Selepas berjaya mengungguli Kejohanan Rali Malaysia (MRC) dua kali berturut-turut sejak 2017, pasukan One Motorsports kini menyahut cabaran untuk menyertai pusingan kedua Kejuaraan Rali Thailand 2019 di Phetchabun, Thailand bermula 23 hingga 25 Ogos ini.

Pengurusnya Khalid A Rashid, berkata One Motorsports akan menggunakan jentera Satria Neo 1600cc yang bakal dipandu juara kategori pacuan dua roda MRC 2017 dan 2018, Mohd Henzee Hamzah dibantu jurupandu arah Amirul Syamim Khalid sebagai taruhan utamanya.

Malah Khalid berkata, One Motorsport sudah melakukan pelbagai persediaan awal bagi menghadapi saingan sengit peserta lain yang memandu Honda Brio, Suzuki Swift, Toyota Yaris dan sebagainya.

"Pasukan Malaysia dijangka menghadapi cabaran sengit terutama dari pasukan “K45 Maxima Rally Team” yang akan mempertaruhkan dua buah jentera Honda Brio yang sudah terbukti berkuasa di pusingan pertama Julai lalu. 


JENTERA digunakan pasukan One Motorsports.

"Saingan lain tidak kurang hebatnya dari pasukan “T-Tex Rally Team” juga perlu diberi perhatian oleh pasukan One Motorsports di kejohanan sulung luar negara mereka," katanya.

Mengulas lanjut, Khalid berkata biarpun bakal menghadapi saingan sengit pasukan lain, mereka tetap yakin mampu mencatatkan sekurang-kurangnya kedudukan tiga pasukan terbaik keseluruhan bagi kategori berkenaan serta kelompok 10 terbaik perlumbaan disertai 30 pasukan itu.

"Kami berharap percubaan pertama mereka menyertai kejohanan di luar negara membuahkan hasil bagi mengharumkan nama Malaysia serta melebarkan sayap pasukan ke peringkat lebih tinggi. 

"Selain itu juga, pasukan One Motorsports berharap ada yang membuka mata bagi tujuan penajaan kerana sukan bermotor antara sukan yang memerlukan dana agak tinggi bagi menyertai sesuatu kejohanan," kataya. 

Kejohanan Rali Thailand 2019 dijangka disertai oleh lebih 1,000 pemandu dan jurupandu arah berlangsung di Anubanbungsamphan, Phetchabun dekat utara kota Bangkok, Thailand dari 23 hingga 25 Ogos ini.

294 dibaca
Berita Harian X