Khamis, 22 Ogos 2019 | 10:35pm
Bradley Smith pelumba gantian sementara buat Khairul Idham Pawi.

Smith ganti Khairul Idham di Silverstone

 

KUALA LUMPUR: Selepas tujuh tahun, Bradley Smith kembali beraksi dalam kelas Moto2 di Kejuaraan Motosikal Dunia di Grand Prix (GP) British, minggu ini. 

Malah, kemunculan semula pelumba berusia 28 tahun itu hadir di laman sendiri - Litar Silverstone - trek yang pernah menyaksikan dirinya meraih penamat kedua pada 2011. 

Begitupun, Smith kali ini tiba selaku pelumba gantian sementara buat Khairul Idham Pawi di pasukan PETRONAS Sprinta Racing dan ia satu cabaran besar untuk kembali menyesuaikan diri dengan jentera kelas pertengahan. 

"Agak bertuah buat saya kerana tahun ini menunggang pelbagai jenis motosikal daripada motocross ke supermoto ke MotoGP dan MotoE," kata Smith yang mempunyai pengalaman dalam kelas perdana dari tahun 2013 hingga 2018 itu.

Pada tahun ini, Smith pernah menyertai GP Qatar pada Mac, GP Sepanyol (Mei) dan Catalunya (Jun) bersama pasukan Aprilia Factory Racing sebelum melangkah ke kelas baharu iaitu MotoE. 

Dalam saingan MotoE, Smith mempamerkan keputusan memberangsangkan dengan meraih dua penamat podium pada dua pusingan awal di GP Jerman (kedua) dan GP Austria (ketiga). 

"Saya fikir (dengan peluang menunggang pelbagai motosikal) ia seharusnya menjadikan proses menyesuaikan diri akan menjadi lebih mudah kerana saya sudah menunggang motosikal elektrik seberat 260 kilogram (kg) dengan 140 kuasa kuda kepada motosikal 100kg lebih ringan dan mempunyai kuasa berganda!.

"Setiap kejuaraan dunia adalah satu tempat yang kompetitif dan memasukinya pada pertengahan musim adalah sesuatu yang bukan mudah kerana semua pelumba sudah dapat menemui keserasian tetapi saya harap dapat menyesuaikan diri dengan cepat. 

"Saya fikir saya memahami corak tunggangan Moto2 yang baharu ini, jadi saya mungkin perlu mengubah beberapa perkara tetapi berharap, ia tidak terlalu banyak. 

"Silverstone adalah sebuah litar yang kamu harus berani. Ia adalah sebuah litar kegemaran saya. Tahun yang menakjubkan buat pasukan, jadi saya ingin meningkatkan tahap keupayaan diri dan mengekalkan prestasi baik pasukan."

408 dibaca
Berita Harian X