Jumaat, 23 Ogos 2019 | 9:45pm
Pelumba Moto3 PETRONAS Sprinta Racing, John Mcphee pada GP Belanda hari ini. - Foto ihsan PETRONAS

McPhee lanjut kontrak bersama PETRONAS Sprinta Racing

KUALA LUMPUR: Terjawab sudah satu slot bagi pasukan Moto3 PETRONAS Sprinta Racing apabila John McPhee melanjutkan kontraknya untuk musim 2020 di Grand Prix (GP) British, hari ini. 

Dalam laman web rasminya - johnmcphee.co.uk - McPhee memberitahu: "Apabila semuanya berlangsung dengan baik seperti sekarang ini, ia sesuatu yang tidak ternilai - kamu tidak boleh menggambarkan betapa pentingnya perkara ini untuk seseorang pelumba. 

"Dengan peluang untuk memulakan musim kedua dengan perasaan yang sudah ada (dalam pasukan), tentunya ia akan menjadikan kami menjadi lebih kuat."

Begitupun tanda tanya mengenai pelumba kedua belum terjawab meskipun prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razali pernah menyatakan ada keberangkalian untuk pelumba Moto2 pasukan ketika ini, Khairul Idham Pawi diturunkan ke kelas Moto3.

Semalam, Razlan dalam akaun Facebook menyatakan, pasukan itu sudah menghantar senarai pelumba untuk musim 2020 bagi kelas Moto2 dan Moto3.

Seandainya Khairul Idham yang sedang dalam proses pemulihan daripada pembedahan jari kelingking kanannya selepas mengalami kemalangan di GP Sepanyol, Mei lalu diturunkan ke kelas Moto3, ini bermakna ada dua kekosongan dalam kelas Moto2. 

Pelumba MotoGP, Hafizh Syahrin Abdullah turut dikaitkan untuk menyertai pasukan Moto2 PETRONAS Sprinta Racing tatkala Razlan juga pernah menyatakan yang perkembangan mengenai masa depan ikon permotoran negara itu kemungkinan diketahui lebih lanjut di litar Silverstone.

Berita Harian X