Sabtu, 24 Ogos 2019 | 11:05pm
Aksi penunggang Repsol Honda, Marc Marquez pada sesi kelayakan GP British, sebentar tadi. - Foto EPA

Marquez raih petak utama GP British

SILVERSTONE: Penunggang Repsol Honda, Marc Marquez merangkul petak utama ke-60 dalam kariernya apabila mengatasi Valentino Rossi pada sesi kelayakan Grand Prix (GP) British, sebentar tadi.

Penyandang juara dunia itu turut memecahkan rekod sepusingan terpantas di Litar Silverstone dengan melakukan 1 minit 58.168 saat (s) pada sesi kelayakan kedua dengan Rossi ketinggalan 0.428s.

Pelumba Australia dan Ducati, Jack Miller melengkapkan barisan hadapan yang memaksa pelumba Perancis, Fabio Quartararo di petak keempat.

Selepas memecahkan rekod sepusingan terpantas pada sesi latihan bebas, semalam, pelumba pasukan PETRONAS Yamaha SRT itu mengalami masalah teknikal pada pertengahan sesi kelayakan kedua yang mengakibatkannya gagal mencipta masa lebih pantas.

Pelumba Suzuki, Alex Rins mengikuti Quartararo di barisan kedua diikuti rakan sepasukan Rossi dari Monster Yamaha, Maverick Vinales.

Pelumba Ducati dan pemenang GP Austria, Andrea Dovizioso mengetuai barisan ketiga diikuti rakan sepasukan Quartararo,  Franco Morbidelli manakala pelumba tuan rumah, Cal Crutchlow melengkapkan barisan ketiga bersama LCR Honda.

Sementara itu, pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah akan memulakan perlumbaan di petak ke-20 di depan pelumba Honda, Jorge Lorenzo dan pelumba Avintia Ducati, Karel Abraham. - Agensi

Berita Harian X