Isnin, 2 September 2019 | 8:17pm
Datuk Razlan Razali. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Pelumba pelapis ganti SuperKIP

KUALA LUMPUR: Biarpun pasukan PETRONAS Sprinta Racing menjangkakan Khairul Idham Pawi bakal kembali di pusingan ke-15 di Grand Prix (GP) Thailand, namun ia bukan jaminan buat pelumba Moto2 itu untuk beraksi di Litar Antarabangsa Chang, bulan depan. 

Prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razali berkata, mereka harus mendapatkan pandangan pakar daripada Pusat Perubatan Sukan Kuala Lumpur (KLSMC) terlebih dulu sebelum membuat keputusan lanjut mengenai kemunculan semula Khairul Idham atau lebih dikenali SuperKIP itu.

"Setakat ini, masih belum tahu keadaan sebenar (jarinya). Minggu ini, dia ada janji temu dengan pihak KLSMC untuk mendapatkan pandangan daripada pihak doktor. Setakat ini, tangannya masih belum cukup kuat lagi. 

"Di Misano (15 September) dan Aragon (22 September), tentunya dia tidak boleh berlumba. Bagi saya, tidak ada guna untuk dia kembali berlumba (dalam masa terdekat) sekiranya tidak cukup cergas. 

“Apapun, kita akan mendapatkan pandangan daripada doktor terlebih dulu (untuk GP Thailand)," kata Razlan.

Razlan juga memberitahu tempat SuperKIP yang digantikan sementara oleh Bradley Smith bermula di GP British minggu lalu bakal diambilalih pelumba pelapis negara.

"Smith tidak boleh berlumba lagi, kita akan meletakkan pelumba pelapis kita sebagai pelumba gantian di Moto2. Ini adalah sebagai satu pendedahan dan medan untuk dia mengumpul pengalaman.

"Sekiranya dapat melakukan yang terbaik, mungkin peluang untuk dia menyertai pasukan lebih cerah baik dalam kelas Moto2 tahun depan," kata Razlan yang belum mahu mendedahkan nama pelumba berkenaan.

Berita Harian X