Selasa, 3 September 2019 | 12:00am
Pemandu Formula Satu (F1) Australia, Daniel Ricciardo.

Adakah ia berbaloi? Ricciardo persoal kematian Hubert

SPA-FRANCORCHAMPS, Belgium: Pemandu Formula Satu (F1) Australia, Daniel Ricciardo berkata dia menimbang untuk menarik diri daripada perlumbaan Grand Prix (GP) Belgium selepas kematian pelumba Formula Dua (F2),  Anthoine Hubert, Sabtu lalu. 

Ia adalah kematian pertama di perlumbaan GP sejak legenda Brazil, Ayrton Senna dan Roland Ratzenberger maut dalam perlumbaan ketika GP San Marino pada 1994.

Jules Bianchi maut pada Julai 2015 susulan kecederaan yang diperoleh ketika GP Jepun pada 2014.

Pelumba pasukan Renault, Ricciardo, yang juga rakan rapat kepada Bianchi dan turut berlumba di Suzuka mendedahkan dia bertanya kepada dirinya sendiri jika dia benar-benar mahu bersaing selepas begitu banyak persoalan berlegar di mindanya.

“Kamu mempunyai persoalan, adakah ia berbaloi?,” kata Ricciardo yang menamatkan perlumbaan di Belgium di kedudukan ke-14. “Pada akhirnya, ia adalah soalan yang mudah tetapi ia agak jujur juga.

“Ia adalah tugas kami dan juga kerjaya kami dan juga kehidupan kami, tetapi ia juga hanyalah perlumbaan kereta di litar.”

Ricciardo menambah dia dapat melihat keluarga Hubert ketika penghormatan diberikan kepada pelumba itu, semalam yang disifatkan memberinya kekuatan.

“Saya tidak dapat bayangkan berada di kedudukan mereka, saya rasa mereka jauh lebih tabah berbanding kami semua.”

Pihak berkuasa Belgium membuka kertas siasatan terhadap insiden membabitkan kematian Hubert, hari ini dengan badan induk sukan berkenaan berkata usaha untuk meningkatkan tahap keselamatan dan penyelidikan ke arah perlindungan yang lebih baik untuk pelumba tidak akan berhenti. - AFP

2683 dibaca
Berita Harian X