Isnin, 9 September 2019 | 6:31pm
(DARI kiri) Hafizh Syahrin Abdullah, Franco Morbidelli dan Michael van der Mark.

Hafizh, Morbidelli, Van der Mark bergandingan di Sepang

KUALA LUMPUR: Penunggang MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah akan bergandingan dengan Franco Morbidelli dan Michael van der Mark bagi perlumbaan 8 Jam Kejuaraan Endurance Dunia (EWC) FIM di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Disember ini.

Berlumba di bawah pasukan Sepang Racing Team, ketiga-tiga pelumba akan berkongsi jentera yang sama iaitu YZF-R1 dan mendapat kerjasama bekas pasukan juara dunia EWC, Yamaha-Austria Racing Team (YART).

Selain Hafizh dan Morbidelli yang bersaing di Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP), Sepang Racing Team turut meletakkan sandaran kepada juara perlumbaan 8 Jam Suzuka, Van der Mark bagi mencapai sasaran yang diletakkan iaitu menjuarai perlumbaan sulung EWC di Malaysia itu.

“Tidak sabar untuk mengambil bahagian dalam perlumbaan EWC pertama di Malaysia,” kata Hafizh.  “Ia bukan perlumbaan endurance pertama saya kerana saya pernah berlumba di perlumbaan Suzuka 8 Jam sebelum ini, tetapi ia akan menjadi amat berbeza berlumba di depan penyokong sendiri.

“Ia benar-benar peluang yang baik untuk saya menguji kemampuan fizikal kerana ia perlumbaan yang amat panjang dan panas, dan paling penting ialah bagaimana kami bekerja sebagai satu pasukan.

“Kami akan cuba melakukan yang terbaik, dan kami mempunyai pasukan yang hebat dan rakan sepasukan yang menakjubkan. Saya amat teruja untuk berkongsi jentera dengan Franky dan Michael kerana mereka pelumba yang amat handal. Michael juga memiliki banyak pengalaman dengan Yamaha”

Sementara itu, Prinsipal pasukan  Sepang Racing Team, Datuk Razlan Razali berkata dia meletakkan kepercayaan kepada ketiga-tiga pelumba yang disenaraikan bagi mencapai misi pasukan bagi perlumbaan yang dijadual berlangsung pada 13 hingga 15 Disember ini.

“Kami mempunyai keyakinan tinggi yang Franco, Michael, Hafizh dan YART mencapai sasaran dan yang diletakkan pasukan iaitu berada di kedudukan teratas podium,” kata Razlan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif SIC.

1070 dibaca
Berita Harian X