Selasa, 10 September 2019 | 5:16pm
Pelumba Red Bull KTM Tech3, Hafizh Syahrin Abdullah.

Hafizh bermotivasi tinggi ke GP San Marino

KUALA LUMPUR: Kejayaan meraih tiga mata di Grand Prix (GP) Britain dua minggu lalu menjadi pencetus semangat buat Hafizh Syahrin Abdullah untuk mempamerkan tunggangan lebih menarik di GP San Marino, hujung minggu ini.

Pelumba Red Bull KTM Tech3 itu berkata, pusingan ke-13 musim di Litar Misano nanti juga menyediakan kenangan manis apabila berjaya menemui garisan penamat kedua dalam kelas Moto2, dua tahun lalu.

Begitupun, pelumba berusia 25 tahun itu tetap menjangkakan persaingan sengit di litar sepanjang 4.2 kilometer (KM) berkenaan.

"Saya juga mempunyai memori indah di sana dua tahun lalu. Saya menamatkan saingan di tempat kedua dalam kelas perlumbaan Moto2. Secara keseluruhannya, saya akan cuba meningkatkan kemampuan diri.

"Bukan sesuatu yang mudah tetapi perancangannya adalah untuk cuba sebaik mungkin dan menjadi lebih laju setiap kali berada di trek. Saya banyak melakukan latihan sebelum ini, jadi kita lihat apakah yang bakal berlaku hujung minggu nanti," kata Hafizh.

Hujung bulan lalu, Hafizh bersama pelumba pasukan MotoGP yang lain melakukan ujian rasmi di litar sama dan menamatkan dua hari ujian di tempat ke-20 keseluruhan.

"Saya tidak sabar untuk GP San Marino. Kami sudah menjalani dua hari ujian di sana dan ia memberikan saya satu perasaan yang bagus," katanya yang kini sudah mengumpul enam mata daripada 12 pusingan musim.

931 dibaca
Berita Harian X