Sabtu, 21 September 2019 | 7:35pm
Adam Norrodin tidak akan meneruskan saingan di GP Aragon. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Adam Norrodin tidak akan meneruskan saingan di GP Aragon. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Adam tidak berlumba di GP Aragon

KUALA LUMPUR: Pelumba pelapis Moto2 pasukan SIC Racing Team, Adam Norrodin tidak akan meneruskan saingan di Grand Prix (GP) Aragon selepas kesakitan di bahu kirinya masih terasa biarpun pihak perubatan mengesahkan dirinya cergas untuk berlumba.

Adam yang menggantikan sementara Khairul Idham Pawi dalam saingan kelas Moto2 bermula di GP San Marino bersama PETRONAS Sprinta Racing minggu lalu mengalami kemalangan ketika sesi latihan bebas kedua di litar MotorLand Aragon kelmarin. 

"Satu kemalangan yang sangat teruk semalam (kelmarin)," kata Adam. "Walaupun pihak perubatan kata cergas tetapi pada pagi ini (semalam) dalam sesi latihan bebas ketiga (FP3), saya memutuskan untuk tidak turun kerana saya tidak berasa begitu baik malam tadi.

"Sesuatu yang teruk. Kembali menunggang adakalanya bagus. Saya cuba di FP3 tetapi ia sesuatu yang mustahil untuk menunggang motosikal ini dalam keadaan masih sakit. Ketika membrek, saya menggunakan banyak pergerakan di bahagian bahu. Mengecewakan, saya mohon maaf kepada pasukan. Minggu yang sangat teruk."

Begitupun, Adam atau dikenali sebagai 'Torete' mahu membalas kekecewaan itu di GP Thailand pada 6 Oktober ini.

"Sudah tentu kami mempunyai GP Thailand dalam tempoh dua minggu lagi. Kami akan membuat persiapan terbaik bagi menghadapi perlumbaan itu," kata Adam yang pada musim ini menggalas cabaran di Kejuaraan Moto2 Eropah. 

Untuk rekod, pada pengalaman pertamanya merasai enjin Triumph digunakan dalam saingan kelas pertengahan itu di litar Misano minggu lalu, Adam tidak menamatkan perlumbaan selepas terjatuh ketika pusingan keenam.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X