Ahad, 22 September 2019 | 10:25am
CHARLES Leclerc

Leclerc tempah petak depan GP Singapura

SINGAPURA: Pemandu Ferrari, Charles Leclerc menempah petak permulaan depan kali ketiga berturut-turut manakala Lewis Hamilton di petak kedua menjelang Grand Prix Singapura, malam ini.

Pelumba berusia 21 tahun itu yang bermula di petak depan di GP Belgium dan Itali sekali gus menjuarai kedua-duanya, merakam kepantasan satu minit 36.217 saat di sesi kelayakan.

"Melihat catatan masa itu, saya hilang kawalan tiga pusingan,” kata Leclerc.

"Kami sedar perlumbaan di sirkit ini sukar tapi pasukan melakukan kerja dengan bagus dengan pakej yang lengkap seperti diperlukan,” katanya.

"Kami tampilkan kerja dengan lebih teliti dan berhasil pada ujian kelayakan semalam, Saya bekerja keras dan ia berbaloi hari ini.”

Ferrari, yang kerap bergelut pada sirkit jalan raya GP Singapura bukan pasukan pilihan menang malam nanti, namun Leclerc berjaya membuktikan kemampuannya pada sesi terakhir kelayakan semalam.

Hamilton, juara tahun lalu yang mengetuai 63 pungutan mata pemandu, tetap bangga dapat memulakan perlumbaan di barisan depan bersama rakan sepasukan Valtteri Bottas yang akan bermula dari petak kelima.

"Saya tidak tahu dari mana Ferrari mendapat kelajuannya kerana trek ini bukan kegemaran mereka tapi jelas Ferrari melakukan kerja dengan bagus,” kata Halmilton yang menang empat kali di sana.

"Ia sangat sengit dan begitu hampir. Saya beberapa kali melanggar tembok tapi mujur berjaya ," kata Hamilton.

Vettel, yang dibayangi kehebatan Leclerc, turut menyerlahkan kehebatannya namun terpaksa bergegas memasuki pit di pusingan terakhir selepas berlaku kesilapan.

Pusingan kelayakan semalam menyaksikan bekas juara dunia empat kali itu terus kemarau kemenangan selama semusim ditenggelami kepantasan Leclerc.

"Catatan pada pusingan terakhir itu sepatutnya lebih baik tapi kereta terlalu laju,” katanya yang kini terdedah dengan spekulasi mengenai masa depannya bersama Ferrari meskipun kontraknya hanya akan berakhir hujung 2020.

"Kami ada sedikit masalah jadi tiada faedah menghabiskan pusingan akhir itu kerana sudah ketinggalan jauh,” kata Vettel.

"Saya tentu akan terasa janggal sedikit pada perlumbaan esok (malam ini) tapi ia pasti perlumbaan yang hebat.”

Dalam pada itu, pelumba Belanda berusia 21 tahun, Verstappen kekal memukau dengan jentera Red Bull yang menamatkan perlumbaan di tangga kedua sejak lima tahun lalu. Dia bakal bermula dari petak keempat.

Bottas pula yang gagal menempatkan diri di tiga petak depan bakal bermula dari petak kelima manakala muka baru dari Thailand, Alexander Albon, bermula di petak keenam pada perlumbaan kali ketiga bersama Red Bull sejak berpisah dengan Toro Rosso.

Dalam pada itu, pemandu Renault, Daniel Ricciardo bakal memulakan perlumbaan dari kedudukan belakang selepas steward perlumbaan mendapati jenteranya menggunakan sistem pemulihan kuasa pecutan yang tidak dibenarkan. – Reuters

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X