Isnin, 7 Oktober 2019 | 7:21pm
Quartararo (kiri) mahu mengikut jejak langkah juara dunia, Marc Marquez (kanan) yang disifatkannya sebagai pelumba luar biasa. - Fot AFP

Quantararo mahu ikut jejak Marquez

KUALA LUMPUR: Pelumba PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Fabio Quartararo mahu mengikut jejak langkah juara dunia, Marc Marquez yang disifatkannya sebagai pelumba luar biasa.

Semalam, Marquez mengesahkan gelaran juara dunia buat kali keenam dalam kelas MotoGP dan kelapan sepanjang kerjayanya (juara dunia 125cc yang kini Moto3 pada 2010 dan pemenang Moto2 pada 2012) selepas pelumba  Repsol Honda Team itu mengungguli saingan Grand Prix (GP) Thailand di Litar Antarabangsa Chang.

Bagaimanapun, pelumba dari Sepanyol itu berdepan tentangan sengit daripada Quartararo yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua - podium kelima buat dirinya dalam saingan musim ini.

Quartararo, 20, berharap dia mampu meraih kejayaan seperti Marquez dan menjadi antara pencabar kejuaraan dunia bagi saingan musim depan.

"Ia perlumbaan yang menakjubkan, saya berasa selesa dengan jentera saya sejak dari awal perlumbaan lagi. 

"Malangnya, saya gagal menamatkan perlumbaan sebagai juara tetapi saya gembira kerana dapat memberi tentangan sengit kepada juara dunia yang baharu sehinggalah selekoh terakhir.

"Marquez pelumba yang cukup konsisten sepanjang musim ini. Tiada kata-kata boleh menggambarkan mengenai prestasinya itu, saya harap saya boleh menjadi kompetitif seperti dia pada saingan musim depan," kata Quartararo yang kali ketiga meraih penamat kedua musim ini.

Sebelum ini, dia turut melakukannya pada GP Catalunya pada Jun lalu - podium pertamanya dalam kelas MotoGP dan GP San Marino, bulan lalu.

Berbaki empat perlumbaan, dia ketika ini berada di kedudukan ketujuh carta kejuaraan dunia dengan mengumpul 143 mata sekali gus membolehkannya mendahului carta pelumba muka baharu.

Kini Quartararo bakal mengalihkan fokusnya bagi menghadapi perlumbaan GP Jepun di Litar Twin Ring Motegi bermula 18 hingga 20 Oktober ini.

"Saya harap mampu mengekalkan momentum ini pada perlumbaan di Jepun. Keputusan positif yang diraih kali ini sudah pastinya menjadi suntikan semangat untuk saya bagi menghadapi perlumbaan di Jepun," kata Quartararo.

Berita Harian X