Khamis, 10 Oktober 2019 | 7:03pm
PELUMBA SIC Junior Team, Muhammad Izam Ikmal.

Izam mahu buktikan kemampuan di Litar Albacete

KUALA LUMPUR: Muhammad Izam Ikmal kembali berada pada tahap prestasinya di pusingan keenam Kejuaraan Motosikal Remaja Moto3 Dunia (CEV) di Litar Jerez, Sepanyol hujung bulan lalu dan mahu membawa momentum berkenaan di Litar Albacete, minggu ini. 

Di Jerez, pelumba SIC Junior Team itu berjaya memperbaiki kedudukan daripada menamatkan Perlumbaan 1 di tempat ke-28 ke tempat ke-18 pada Perlumbaan 2 dan pencapaian berada dalam kelompok 20 terbaik adalah yang kedua terbaiknya musim ini selepas di Litar Ricardo Tormo, April lalu.

"Minggu perlumbaan di Albacete, tentunya gembira kerana saya dapat menunjukkan peningkatan di Jerez," kata Izam. "Saya mempunyai momentum yang baik untuk saingan di Albacete minggu ini.

"Tentunya saya akan buat yang terbaik untuk pasukan dan cuba memperbaiki lagi corak tunggangan di Moto3 CEV."

Selain Izam, turut mewakili pasukan di saingan berkenaan adalah Muhammad Idilfitri Mahadi yang menemui garisan penamat di tempat ke-27 dalam kedua-dua perlumbaan di Jerez. 

Sementara itu dalam saingan Kejuaraan Moto2 Eropah, Kasma Daniel Kasmayudin yang menemui garisan penamat di tempat kedua di Jerez (Perlumbaan 1) berkata, dia lebih selesa dengan hanya meletak sasaran menamatkan saingan di Albacete dalam kelompok 10 terbaik. 

"Persiapan sudah dilakukan lebih awal dan saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk berada dalam kelompok 10 terbaik," katanya yang bersama pasukan Dynavolt Intact SIC Junior Team itu. 

Berbaki satu lagi pusingan di Ricardo Tormo bulan depan, Kasma ketika ini sudah mengumpul 38 mata untuk berada di tangga kesembilan keseluruhan. 

Syarifuddin Azman turut berada dalam kem pasukan dengan menyertai saingan European Talent Cup (ETC).

Berita Harian X