Ahad, 27 Oktober 2019 | 1:10pm
KETUA Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay. - Foto Aizuddin Saad

LTTE: Kertas siasatan dihantar ke Peguam Negara

KUALA LUMPUR: Polis sudah menyerahkan kertas siasatan berhubung penahanan 12 lelaki yang disyaki ada hubungan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) kepada Pejabat Peguam Negara, Rabu lalu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata pihaknya kini sedang menunggu keputusan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

“Setakat ini kita berpuas hati hasil siasatan berhubung penahanan 12 individu terbabit. Segala dokumen diperlukan sudah dikemukakan dan kini terpulang pada Peguam Negara sama ada cukup bukti atau tidak untuk pertuduhan di mahkamah.

“Dari segi siasatan polis, sudah selesai,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai ahli keluarga suspek yang dibenarkan untuk bertemu sempena Deepavali, hari ini, Ayob Khan berkata, perkara itu dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dengan hanya ahli keluarga terdekat dibenarkan untuk bertemu.

“Kita mendapat arahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, yang meminta kita mengaturkan pertemuan berkenaan.

“Ahli keluarga tahanan dibenarkan membawa makanan dan setiap daripada mereka dibenarkan untuk bertemu selama dua jam.

“Ahli keluarga dibenarkan bertemu mengikut ketetapan masa berbeza, bermula jam 9 pagi hingga 5 petang,” katanya.

Sebelum ini, polis 12 individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan (ADUN) DAP masing-masing seorang dari Melaka dan seorang dari Negeri Sembilan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Berita Harian X