Khamis, 14 November 2019 | 7:41pm
AYUMU Sasaki
AYUMU Sasaki

Sasaki buru podium terakhir

KUALA LUMPUR: Ayumu Sasaki mahu menikmati perlumbaan terakhir bersama PETRONAS Sprinta Racing di Grand Prix (GP) Valencia hujung minggu ini walaupun keadaan tangannya masih belum 100 peratus pulih.

Pelumba dalam kelas Moto3 itu mengalami kemalangan di Litar Antarabangsa Sepang awal bulan ini ketika sedang bersaing merebut kedudukan dalam kelompok 10 terbaik yang menyebabkan tangan kanannya patah. 

Begitupun pelumba berusia 19 tahun itu yang bakal meninggalkan pasukan musim depan selepas tiga tahun bersama, sudah pasti akan mengharungi minggu saingan di Litar Ricardo Tormo ini dengan penuh emosi.

"Saya tidak fikir saya (cergas) 100 peratus," kata Sasaki. "Namun saya akan bersedia secepat mungkin supaya dapat menikmati perlumbaan terakhir bersama PETRONAS Sprinta Racing. Saya banyak belajar dan kami semakin hampir untuk bersaing di kelompok depan sejak tiga tahun lalu. Walaupun berdepan musim yang getir, kami sentiasa menikmati kegembiraan bersama-sama.

"Akan ada detik beremosi pada Ahad, tetapi ini adalah sebahagian daripada perlumbaan dan saya akan memberi tumpuan untuk secepat mungkin kembali cergas supaya kami dapat beraksi dengan sebaiknya. Sekiranya mampu, kami mahu bersaing merebut penamat di podium seperti sebelum ini, dan tentunya ia hadiah kepada pasukan."

Sementara itu, rakan sepasukannya dari Scotland, John McPhee berharap untuk mengulangi penamat di pentas podium seperti dilakukannya pada musim lalu - menemui garisan penamat di tempat ketiga. 

"Pusingan terakhir di Valencia ini membawa kenangan manis buat saya dengan satu penamat di pentas podium musim lalu. Sasaran saya adalah untuk berada di pentas podium semula sekiranya kami mahu mencapai peluang berada dalam kelompok tiga terbaik kejuaraan, jadi kami akan ke sana dengan memberikan segala-galanya dan mengakhiri tahun ini dengan sebaik mungkin," kata McPhee. 

Kedudukan keseluruhan Moto3

1.Lorenzo Dalla Porta    (ITA/Leopard Racing)    279 mata

2.Aron Canet    (SPA/Sterilgarda Max Racing Team) 190 mata

3.Tony Arbolino     Honda    (ITA/VNE Snipers)    175 mata

4.Marcos Ramirez    Honda    (SPA/Leopard Racing)    174 mata

5.John McPhee    Honda    (GBR/PETRONAS Sprinta Racing)    156 mata

...17.Ayumu Sasaki (JPN/PETRONAS Sprinta Racing) 62 mata

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X