Sabtu, 14 Disember 2019 | 11:57am

Ferrari mahu ambil pelumba wanita

LONDON: Akademi Pemandu Ferrari (FDA) bercadang menambah pelumba wanita selaras dengan hasrat pasukan itu mengembangkan program memajukan bakat pelumba mereka pada masa depan.

Ketika ini FDA sudah melahirkan pelumba seperti Mick Schumacher, iaitu anak kepada legenda Michael Schumacher, serta pemandu Russia, Robert Shwartzman, yang juga juara Formula 3 musim ini.

Pelumba F1 Ferrari, Charles Leclerc, yang memenangi dua Grand Prix musim ini juga adalah graduan FDA.

Selain itu, FDA juga melahirkan jaguh e-sports, David Tonizza yang baru muncul juara Formula One Pro Series tahun ini.

"Kami mahu menambah bilangan pemandu di Akademi Pemandu Ferrari tahun depan," kata bos FDA, Binotto kepada wartawan di Maranello.

"Beberapa lagi pemandu akan menyertai kami. Pada masa depan kami juga akan mengambil pemandu wanita. Mereka wajar menjadi sebahagian keluarga kami. 

“kami sedang bekerja keras menjayakan rancangan dalam program pengembangan bakat pelumba berkenaan dalam masa terdekat,” katanya.

Kali terakhir Formula Satu menampilkan pelumba wanita pada 1976. -  Reuters

Berita Harian X