Ahad, 15 Disember 2019 | 9:41pm
PELUMBA pasukan beraksi pada pusingan kedua Fia WTCR Races of Malaysia 2019 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Sepang. NSTP/Zulfadhli Zulkifli.

Hafizh, Mitchell cemerlang di Sepang

SEPANG: Kejuaraan Piala Touring Car Dunia (WTCR) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menyaksikan dua wakil negara yang beraksi menerusi tiket wildcard, Hafizh Syahrin Abdullah dan Mitchell Cheah menamatkan perlumbaan dengan cemerlang.

Hafizh Syahrin yang lebih sinonim dengan perlumbaan motosikal serta beraksi di kelas perdana MotoGP musim ini tampak tidak kekok apabila mengakhiri perlumbaan 1 di tempat ke-25 manakala perlumbaan 2 di kedudukan ke-22.

Mitchell yang juga rakan sepasukan Hafizh Syahrin dalam pasukan Hyundai Team Engstler pula menamatkan perlumbaan 1 di kedudukan ke-19 dan melonjak ke kedudukan ke-16 untuk perlumbaan 2.

Pencapaian berkenaan menyaksikan Mitchell muncul pemandu wild card terbaik dalam perlumbaan 2.

"Untuk saya keadaan yang agak rumit kerana saya tidak tahu mengenai garisan perlumbaan ketika hujan, jadi saya saya agak bergelut ketika awal perlumbaan.

"Tapi apabila saya terus mencuba saya menemui rentak perlumbaan. Saya gembira kerana dapat memberikan tekanan kepada pemandu lain dan sedikit demi sedikit menghampiri mereka," kata Hafizh Syahrin yang membuat penampilan pertama dalam kelas empat roda serta beraksi bersama pemandu terbaik dunia.

Pada perlumbaan 1 hari ini, Norbert Michelisz yang mewakili pasukan BRC Hyundai N Squadra Corsa menjuarai perlumbaan pertama selepas melengkapkan 10 pusingan dengan catatan masa 26:02.896.

Aurelien Panis dari Comtoyou DHL Team Cupra Racing di tempat kedua (26:05.342) manakala Gabriele Tarquini dari BRC Hyundai N Squadra Corsa ketiga (26:12.905).

Esteban Guerrieri dari ALL-INKL.COM Munnich Motorsport menjuarai perlumbaan 2 dengan catatan masa 1:28:45.146 manakala pemandu pasukan ESP PWR Racing, Mikel Azcona di tempat kedua (1:28:46.169) sementara Johan Kristoffersson yang berlumba untuk pasukan Sebastien Loeb Racing Volkswagen ketiga (1:28:46.514).

'Races of Malaysia' yang dianjurkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sejak Jumaat lalu menyajikan dua perlumbaan eksklusif membabitkan aksi dua roda dan empat roda serentak. 

 

 

Berita Harian X