Ahad, 15 Disember 2019 | 11:54pm
PELUMBA pasukan BRC Hyundai N Squadra Corse, Norbert Michelisz dinobatkan sebagai juara keseluruhan Fia WTCR di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Sepang. NSTP/ Zulfadhli Zulkifli.

Michelisz juara keseluruhan WTCR 2019

SEPANG: Pemandu BRC Hyundai N Squadra Corse, Norbert Michelisz diangkat sebagai juara keseluruhan Kejuaraan Piala Touring Car Dunia (WTCR) yang melabuhkan tirainya secara rasmi Litar Antarabangsa Sepang (SIC), sebentar tadi.

Michelisz muncul juara keseluruhan WTCR selepas mengumpul 370 mata apabila menamatkan perlumbaan 3 di kedudukan ke-5.

Terdahulu pada perlumbaan 1, Michelisz menjuarai saingan selepas melengkapkan 10 pusingan dengan catatan masa 26 minit 02.896 saat.

Esteban Guerrieri dari ALL-INKL.COM Munnich Motorsport menjuarai perlumbaan 2 dengan catatan 1 jam 28 minit 45.146 saat.

Perlumbaan ketiga pula dimenangi oleh Johan Kristoffersson dari pasukan Sebastien Loeb Racing Volkswagen Motorsport. 

Dalam pada itu pemandu negara yang beraksi bersama Hyundai Team Engstler, Mitchell Cheah menamatkan perlumbaan 1 di kedudukan ke-19.

Dalam perlumbaan 2 dia memperbaiki kedudukan dengan penamat ke-16 manakala perlumbaan 3 di tempat ke-19.

Hafizh Syahrin Abdullah yang beraksi dalam kelas MotoGP musim ini menamatkan perlumbaan 1 di kedudukan ke-25 manakala perlumbaan 2 melonjak ke kedudukan 22, iaitu keputusan yang lebih memberansangkan.

Pada perlumbaan ketiga pula, Hafizh tampak lebih selesa mengendalikan perlumbaan empat roda apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-16.

Perlumbaan WTCR di Sepang ini adalah kemuncak musim 2019 dengan penentu gelaran juara bagi klasifikasi pelumba dan pasukan ditentukan di Malaysia. 

Berita Harian X