Isnin, 23 Disember 2019 | 11:06pm
KEJUARAAN Cub Prix Malaysia PETRONAS akan terus mengukuhkan kerjasama dengan kerajaan negeri dan pemegang hak dalam usaha mewujudkan lebih banyak kemudahan litar lumba kekal.

30 peratus Cub Prix Malaysia PETRONAS 2020 di litar kekal

KUALA LUMPUR: Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS akan terus mengukuhkan kerjasama dengan kerajaan negeri dan pemegang hak dalam usaha mewujudkan lebih banyak kemudahan litar lumba kekal untuk melancarkan lagi penganjuran kejuaraan nasional itu.

Setakat ini, tiga pusingan untuk musim 2020 nanti bakal dilangsungkan di litar lumba kekal dan ini adalah seiring dengan objektif utama pihak penganjur untuk membantu kemudahan sedia ada, selain menuntut lebih banyak fasiliti perlumbaan diwujudkan pada masa akan datang.

“Tiga puluh peratus daripada kejuaraan ini bakal diadakan di litar kekal dan ia satu permulaan yang baik. Jujurnya, Cub Prix mahukan lebih banyak pusingan diadakan di litar tetap yang serba lengkap sekali gus menepati standard dituntut dalam kejuaraan kompetitif seperti ini.

“Buat masa ini, kami sedang bekerjasama dengan beberapa tuan rumah bagi venue kejuaraan yang menunjukkan minat untuk mengubah litar jalanan kepada litar lumba kekal. Justeru, kami berharap usaha ini akan menjadi berita gembira untuk dikongsi pada pertengahan musim 2020 nanti,” kata Pengarah Safe Aim Mutual Sdn Bhd, Ron Hogg.

Daripada 10 pusingan musim 2020, tiga akan diadakan di litar lumba kekal iaitu di Litar Lumba Tangkak, Johor; Litar Permotoran Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Kuala Terengganu dan pusingan penutup musim di Litar Antarabangsa Sepang.

Kalendar Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS musim 2020 akan bermula pada Mac depan dengan Litar Lumba Tangkak bakal menjadi venue untuk pusingan pembuka tirai. Pusingan kedua akan berlangsung di Batu Kawan, Pulau Pinang diikuti Pusingan 3 di Kota Bharu.

Selepas aksi di Kota Bharu, kejuaraan berprestij ini akan berehat seketika bagi menghormati bulan Ramadan dan Syawal, dan selepas itu akan diteruskan dengan aksi Pusingan 4 di Pontian, Johor. Pontian kembali menjadi tuan rumah pada musim 2020 nanti selepas membuat penampilan pertama pada musim 2019 sebagai hos untuk Pusingan 4.

Teluk Intan akan menjadi hos untuk Pusingan 5 diikuti Kangar yang bakal menjadi venue untuk saingan Pusingan 6. Litar Permotoran Kompleks Sukan Negeri Terengganu yang membuat kemunculan sulung sebagai hos pada musim 2019 akan menjadi tuan rumah untuk Pusingan 7 pada September.

Venue untuk Pusingan 8 masih belum diputuskan buat ketika ini dan ia akan diumumkan kemudian. Seperti baisa, Jempol, Negeri Sembilan kekal sebagai hos untuk Pusingan 9 diikuti aksi penutup musim di Litar Antarabangsa Sepang pada bulan November nanti.

KALENDAR 2020-

Pusingan 1 – Litar Lumba Tangkak, Johor (14-15 Mac) Pusingan 2 – Batu Kawan, Pulau Pinang (28-29 Mac)

Pusingan 3 – Kota Bharu, Kelantan (17-18 April)

Pusingan 4 – Pontian, Johor (13-14 Jun)

Pusingan 5 – Teluk Intan, Perak (11-12 Julai)

Pusingan 6 – Kangar, Perlis (29-30 Ogos)

Pusingan 7 – Kuala Terengganu (11-12 September)

Pusingan 8 – AKAN DITENTUKAN KEMUDIAN (10-11 Oktober)

Pusingan 9 – Jempol, Negeri Sembilan (7-8 November)

Pusingan 10 – Litar Antarabangsa Sepang (21-22 November)

Berita Harian X