Isnin, 23 Disember 2019 | 11:20pm

SIC mohon kerajaan terus salur peruntukan

Oleh Sukhairi Thani

[email protected]

KUALA LUMPUR: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kini dihambat kerisauan mengenai 'desakan ekonomi semasa global' yang secara tidak langsung menjejaskan peruntukan kerajaan untuk program pembangunan sukan permotoran tanahair pada tahun depan.

Justeru, SIC sudah memohon rayuan kepada kerajaan untuk terus menyalurkan peruntukan seperti sediakala dalam usaha meletakkan barisan pelumba dan pemandu berbakat tempatan menimba pengalaman bersaing di dalam mahupun di luar negara.

Andai kata tiada lagi peruntukan disalurkan, kemungkinan besar beberapa penyertaan pelumba negara di Kejuaraan Moto2 Eropah dan Kejuaraan Remaja Moto3 Dunia (CEV), Asia Talent Cup dan European Talent Cup bakal terjejas.

Ia juga bakal memberi kesan kepada arena empat roda dengan pembabitan negara di Kejuaraan Touring Car Malaysia, Kejuaraan Touring Car Asia dan Kejuaraan Touring Car Jerman termasuk beberapa perlumbaan yang dianjurkan SIC di Sepang bakal menerima nasib yang sama.

"Kami sudah membuat rayuan minggu lalu kepada kerajaan bagi membolehkan program pembangunan ini diteruskan setidak-tidaknya untuk dua tahun lagi sebelum kami cuba mencari pengukuhan dalam pembangunan sukan permotoran,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali.

"Pada mesyuarat ahli lembaga pengarah baru-baru ini, kami sudah mengenalpasti beberapa program yang akan diteruskan samada menerima dana ataupun tidak daripada kerajaan dan ia akan ditanggung sendiri oleh SIC.

"Dua program ini ialah penyenaraian Hafizh Syahrin di Moto2 Kejuaraan Motosikal Dunia dan Kejohanan Mini GP yang mencungkil bakat muda... itu kita akan teruskan. Yang lain masih di bawah rayuan dan kami akan sedaya upaya untuk meneruskannya bagi membolehkan pelapis sedia ada ini ke peringkat seterusnya.

"Ini adalah satu situasi yang mengejutkan kerana kita sudah dua tahun menjalankan program pembangunan dan tanpa sokongan kewangan, memang sukar untuk kami meneruskan program ini,".

Berita Harian X