Rabu, 15 Januari 2020 | 3:45pm
Azlan yang mahu keringat pelumba turut diangkat seperti mana atlet sukan lain di Malaysia. - Arkib NSTP
Azlan yang mahu keringat pelumba turut diangkat seperti mana atlet sukan lain di Malaysia. - Arkib NSTP

Laporan Khas: Pandang kami sebagai atlet

KUALA LUMPUR: Kami juga atlet. Itu luahan pelumba negara yang juga juara keseluruhan kelas ASB1000cc 2019 di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), Azlan Shah Kamaruzaman yang mahu keringat pelumba turut diangkat seperti mana atlet sukan lain di Malaysia.

Sepanjang kariernya bergelar pelumba, Azlan, 35, melihat sukan permotoran terutamanya dua roda seperti kurang diberi perhatian terutamanya daripada sudut sokongan tambahan daripada pihak berwajib.

“Atlet (pelumba) sukan permotoran ini juga atlet... sama seperti yang lain. Kami (pelumba) buat perkara yang sama juga, berlatih dan berjuang tetapi kami seperti kurang diberi perhatian.

“(Sebagai contoh), kenapa atlet lain dapat memasuki Majlis Sukan Negara (MSN), kenapa kami susah?. Tak diberi peluang atau bagaimana?.

“Kalau dibandingkan dengan negara lain sekalipun... mereka ada menerima sokongan daripada kerajaan.

“Mereka diberi sokongan daripada sudut kewangan seperti elaun dan banyak lagi. “Kita di sini, seperti tidak ada sangat.”

Malah, Azlan yang pernah beraksi dalam kelas Moto2 di Kejuaraan Motosikal Dunia selama dua tahun pada 2014 dan 2015 turut membangkitkan kebimbangannya terhadap kebajikan pelumba terutama selepas tamat karier. “Tamat (karier) pelumba pun tak jadi apa.

Lihat saja kepada ‘otai-otai’ (bekas pelumba), semuanya tak ada apa-apapun yang mereka dapat, paling tidak buka bengkel.

Sukan permotoran terutamanya dua roda seperti kurang diberi perhatian terutamanya daripada sudut sokongan tambahan daripada pihak berwajib. - Foto hiasan
Sukan permotoran terutamanya dua roda seperti kurang diberi perhatian terutamanya daripada sudut sokongan tambahan daripada pihak berwajib. - Foto hiasan

“Saya rasa memang jadi pelumba di Malaysia ini tak ada apa-apa pun (kelebihan).

“Kalau nak cerita mengenai sukan lain pun, mereka juga ada kesusahan tersendiri.

“Tapi masalahnya kami ini lagi kosong, tak ada apa-apa. Jadi kami juga perlukan sokongan, kami juga nak dipandang sebagai atlet Malaysia.

“Sebab apa?. Sebab kami juga berjuang untuk negara apatah lagi membawa motosikal yang lebih banyak risikonya, patah (anggota badan).

“Jadi bagi saya, kerajaan perlu melakukan sesuatu untuk pelumba seperti kami,” kata Azlan.

Antara insentif yang diterima atlet:

1. Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM)

2. Skim Hadiah Kemenangan Atlet Remaja (SHAKAR)

3. Skim Galakan Jurulatih (SGAR)

4. Skim Kecemerlangan Pengurusan Sukan (SIKAP)

5. Skim Insentif Sukan Olimpik (SISO)

6. Skim Imbuhan Tetap Olimpik (SITO)

Pendidikan

• Program 'Malaysian Athlete Career and Education (MACE) - membolehkan atlet dan bekas atlet merancang masa depan dalam pembelajaran

Kebajikan

• Skim Kebajikan Atlet Kebangsaan (SKAK)

• Bantuan Khairat Kematian

• Bantuan Perubatan

• Bantuan Bencana Alam

• Bantuan Kewangan Lain

Kauseling

• Kaunseling Individu/peribadi

• Kaunseling Keluarga/Rumahtangga/Perkahwinan/Pra-Perkahwinan

• Kaunseling Kerjaya/Akademik-Kaunseling Kelompok

• Kaunseling Trauma-Inventori Psikologi

• Perkhidmatan Maklumat dan Sebagainya

• Ujian Psikologi

Berita Harian X