Selasa, 21 Januari 2020 | 5:47pm
- Gambar hiasan/sports247.my

Kelas CP115 naik taraf tahun ini

 

KUALA LUMPUR: Kejuaraan Cub Prix Malaysia bakal menampilkan pembaharuan pada musim ini dengan kelas pertengahan CP115 dinaiktaraf kepada CP125, menggunakan motosikal berteknologi 'injection'.

Pembaharuan ini bertepatan selepas kelas perdana CP150 mula diperkenalkan pada 2017 bagi menggantikan CP130 dan pasukan yang menyertai kejuaraan ini sudah dimaklumkan mengenai penaiktrafan CP125 sejak dua tahun lalu bagi membolehkan pasukan membuat persiapan. 

"Secara amnya, kelas CP115 ini agak lama mungkin dalam berbelas tahun," kata pengarah Safe Aim Mutual Sdn Bhd yang juga promoter Kejuaraan Cub Prix Malaysia, Ron Hogg. 

"Kami akan menggunakan teknologi baharu 'injection' dan menggunakan motosikal baharu di kala dunia perlumbaan kebanyakannya sudah menggunakan sistem berkomputer. CP150 sudah menggunakan 'injection' dan untuk CP125 ini, kami sudah memaklumkan kepada pasukan pada 2018. 

“Jadi semua pasukan kena bersedia. Untuk masa akan datang, kesemua kelas dipertandingkan akan menggunakan 'injection'," kata Ron sambil menjelaskan buat masa ini hanya kelas WIRA masih belum menggunakan teknologi berkenaan. 

Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2020 yang membabitkan 10 pusingan perlumbaan dijadual membuka tirainya di Litar Tangkak Johor pada 14 hingga 15 Mac ini manakala kemuncak kejuaraan bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, 21-22 November.

Mengulas mengenai cabaran bakal dilalui dalam kelas itu nanti, Ron berkata: "Kelas baharu jadi ia akan menjadi satu cabaran baharu kepada pasukan. Mereka perlu memikirkan semua perkara. 

"Begitupun, di masa depan untuk pasukan dan pelumba, 'injection' ini sangat bagus kerana dapat melihat data daripada komputer. Pasukan boleh melihat di mana kesilapan dan kekurangan malah berkongsi data. Ini sesuatu yang bagus untuk pelumba dan pasukan."

Berita Harian X