Selasa, 10 March 2020 | 10:40am
PASUKAN Formula 1, Ferrari.
PASUKAN Formula 1, Ferrari.

Ferrari mahu kembali 'memberikan senyuman'

MELBOURNE: Bos Formula Satu (F1) Ferrari, Mattia Binotto hari ini meminta pasukannya “memberikan kembali senyuman kepada orang ramai” di Grand Prix Australia ketika Itali melalui perintah berkurung untuk menyekat coronavirus.

Kebanyakan pasukan, termasuk Scuderia, sudah berada di Melbourne untuk pembuka tirai perlumbaan musim ini pada Ahad, dengan penganjur berkata, mereka akan meneruskannya walaupun bimbang dengan penularan virus berkenaan.

Sebaliknya, semua acara sukan di Itali digantung sehingga 3 April sebagai langkah diumumkan Perdana Menteri, Giuseppe Conte untuk menghalang wabak berkenaan dan Bahrain, tempat berlangsung perlumbaan kedua, melarang penonton.

Ferarri berkata dalam satu kenyataan berkata, walaupun melalui “tempoh yang sangat sukar di Itali” Grand Prix Australia akan bermula seperti dirancang dan Scuderia “akan berada di sana.”

Binotto berkata, dia berharap pasukan berpangkalan di Maranello itu, dan grand prix hujung minggu ini secara keseluruhan, boleh mengurangkan tekanan terhadap krisis berkenaan.

“Pada ketika berlaku tempoh yang sukar buat Itali dan dunia secara keseluruhan, sebagai sebahagian daripada sukan global, adalah tanggungjawab kami untuk kembali memberikan senyuman ketika mereka bersedia menyaksikan perlumbaan pertama musim ini dengan perasaan teruja sama seperti kami,” katanya.

Ferrari akan ke perlumbaan itu dengan jentera baharu SF1000, yang lebih rendah berbanding SF90 musim lalu selain warna lebih merah. - AFP

Berita Harian X