Jumaat, 13 March 2020 | 12:05pm
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Formula Satu, Chase Carey bercakap pada sidang akhbar selepas pembatalan Grand Prix Australia di Melbourne. - Foto AFP
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Formula Satu, Chase Carey bercakap pada sidang akhbar selepas pembatalan Grand Prix Australia di Melbourne. - Foto AFP

Terlalu awal batalkan perlumbaan lain - F1

MELBOURNE: Bos F1, Chase Carey menegaskan hari ini bahawa masih terlalu awal untuk mengatakan perlumbaan lain akan dibatalkan musim ini kerana peningkatan kebimbangan mengenai coronavirus ketika McLaren berkata 15 ahli pasukannya kini dikuarantin.

Keputusan minit akhir membatalkan Grand Prix pembukaan di Australia dibuat ketika tercetus panik apabila staf McLaren diuji positif.

Ia menyaksikan pasukan itu menarik diri daripada perlumbaan di Melbourne dan McLaren berkata 14 kakitangan lain kini dikuarantin di hotel penginapan pasukan selama dua minggu, mengikut garis panduan pihak berkuasa kesihatan.

Mereka semua adalah kontak rapat dengan individu yang diuji positif.

“Ahli pasukan yang lain yang menunjukkan simptom akan segera diuji dan menjalani pengasingan, selari protokol kami,” kata McLaren.

Ketika ramai kakitangan tidak boleh bertugas, penyertaan McLaren pada perlumbaan seterusnya di Bahrain bulan ini yang diberitahu penganjur akan berlangsung tanpa penonton, juga menimbulkan keraguan.

Carey bagaimanapun enggan memberi komen sama ada Bahrain dan Grand Prix ketiga dekat Hanoi juga dibatalkan, sambil menegaskan ia masih terlalu awal berdasarkan situasi semasa.

Perlumbaan keempat di China sudah ditunda dengan Belanda akan menganjurkan saingan itu selepas Vietnam.

“Ketika ini, di sini, kami sedang menyelesaikan isu di Australia. Pada hari mendatang kami akan lihat perlumbaan seterusnya seperti di Bahrain dan Vietnam,” kata Carey di Melbourne. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X